Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:28am
TONI Kroos ketika meraikan jaringan gol dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - Foto Reuters

Kroos hidupkan peluang Real Madrid

ISTANBUL: Gol tunggal Toni Kroos membantu Real Madrid merakam kemenangan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara mengatasi Galatasaray 1-0 di sini, pagi tadi.

Eden Hazard mengumpan bola kepada Kroos lantas menyudahkanya pada minit ke-18 dan kemenangan itu membolehkan Madrid mendaki ke tangga kedua Kumpulan A namun ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Paris St Germain.

Skuad Zinedine Zidane beraksi tanpa Gareth Bale dan Luka Modric. Bagaimanapun, Galatasaray juga kehilangan ayam tambatannya, Radamel Falcao yang masih melawan kecederaan.

Namun pasukan tuan rumah tetap garang dan menguji kubu lawan apabila Florian Andone berjaya memaksa penjaga gol Real, Thibaut Courtois dua kali menyelamatkan cubaannya pada babak pertama.


EDEN Hazard. - Foto Reuters

"Separuh masa pertama lebih seimbang tapi kami mengawal permainan pada babak kedua. Saya tidak ragui kemampuan saya. Kritikan sebelum ini ditangkis dengan positif,” kata penjaga gol Belgium itu.

Jaringan Kroos yang juga penampilan ke-100 di Liga Juara-Juara adalah gol keduanya di pentas itu musim.

Galatasaray tidak putus asa memburu gol penyamaan namun buntu menemui sasaran selepas gagal menembusi benteng bekas juara 13 kali gelaran Eropah itu yang akhirnya menamatkan kemarau kemenangan 11 bulan.


ZINEDINE Zidane

"Kami bertahan dengan baik begitu juga dengan serangan. Kami perlu ulangi prestasi ini untuk meneruskan misi kami,” kata Zidane.

Keputusan itu juga menyaksikan juara Turki itu turun ke tangga tercorot dengan satu mata dari tiga perlawanan dan bakal berkunjung ke Madrid pada 6 November.

Madrid pula meraih empat mata dan memiliki ruang seminggu sebelum berdepan Leganes di La Liga selepas jadual asal El Clasico menentang Barcelona Sabtu ini ditangguhkan selepas berlaku protes besar-besaran oleh warga Catalonia minggu ini. – Reuters

Berita Harian X