Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:08am
MAURICIO Pochettino

Pochettino senyum lebar di London

LONDON: Selepas prestasi hambar pada awal musim, Tottenham Hotspur akhirnya kembali berbisa apabila membelasah Red Star Belgrade 5-0 dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di sini, pagi tadi.

Dua gol masing-masing dari Harry Kane dan Son Heung-min serta satu sumbangan Erik Lamela membantu Tottenham merakam kemenangan pertama dan meletakkan mereka di tangga kedua Kumpulan B.

Ia juga kemenangan keempat dalam 13 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini termasuk kekalahan 2-7 di tempat sendiri kepada Bayern Munich sebelum tunduk 0-3 di tangan Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana.

Kelab Utara London itu memulakan kempen musim ini dengan tidak menentu jauh berbeza ketika mengharungi musim lalu dengan penampilan garang sehingga membolehkan mereka memasuki final dan menduduki tangga keempat liga.


HARRY Kane ketika menjaringkan gol pertama dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - Foto Reuters

Kejayaan ke atas Red Star memberi suntikan semangat menjelang kunjungan ke Anfield untuk berdepan Liverpool hujung minggu ini sekali gus berpeluang membalas dendam kekalahan di tangan The Reds ketika final Liga Juara-Juara di Madrid Jun tahun lalu.

"Gol pertama itu sangat penting dan kemudian kita mampu menguasai perlawanan,” kata Lamela, yang turut membantu dua lagi jaringan dalam penampilan ke-200 bersama kelab itu.

"Ia malam yang positif. Peluang kami kini lebih cerah dan keyakinan kami bertambah selepas menang 5-0.

"Saya lebih dari gembira dengan kemenangan ini, kami perlukan keputusan ini dan kami boleh meraikannya.”


SON Heung-min meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol dalam dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - Foto Reuters

Meskipun tanpa Christian Eriksen, Giovani Lo Celso dan wira musim lalu, Lucas Moura yang direhatkan di bangku simpanan bersama Danny Rose dan Toby Alderweireld, kualiti Tottenham tetap menyerlah.

"Perkara paling penting ialah menang,” kata Kane. "Menang dengan 5-0 adalah yang kami mahukan. Perjalanan kami masih jauh.

"Harapnya kami boleh terus seperti ini. Perlawanan melawan Liverpool selepas ini, mereka memulakan musim ini dengan hebat, harapnya kami boleh menang perlawanan itu.”

Berbanding musim lalu ketika Tottenham hanya meraih satu mata daripada tiga aksi awal Liga Juara-Juara, skuad Pochettino kali ini lebih baik apabila mengumpul empat mata dan menduduki tangga kedua di belakang Bayern Munich.

Pochettino berkata masih banyak kerja perlu dilakukan selepas kunjungan ke Belgrade sebelum berdepan Munich di Jerman dan kembali menunggu kunjungan Olympiakos.

"Peluang masih terbuka. Kami di posisi lebih baik berbanding musim lalu,” katanya.

"Perkara paling penting sekali ialah bertenang, jangan sibuk berdrama. Senyum setiap kali berdpean masalah, tapi sentiasa positif untuk mengharungi perlawanan seterusnya. – Reuters

Berita Harian X