Selasa, 22 Oktober 2019 | 11:50pm
JURULATIH Genk, Felice Mazzu (tengah) bersama anak buahnya ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Liverpool. - Foto AFP

Genk nak tiru cara United kekang Liverpool

GENK: Racing Genk boleh meniru taktik digunakan Manchester United hujung minggu lalu ketika berdepan Liverpool apabila mereka akan bertemu skuad kendalian Jurgen Klopp pada Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Jurulatih kelab Belgium itu, Felice Mazzu berkata dia kagum dengan pendekatan Ole Gunnar Solskjaer ketika seri 1-1 berdepan juara Eropah itu di Old Trafford Ahad lalu.

“Manchester United bermain perlawanan yang bagus berdepan Liverpool pada Ahad. Sistem mereka dengan lima pemain di pertahanan berjalan baik,” kata Mazzu pada sidang media hari ini sebelum Genk menanti kehadiran Liverpool dalam Kumpulan E.

“Ia mata yang bagus buat Liverpool sekalipun Manchester United bermain baik pada satu babak.”

Genk mungkin menggunakan pendekatan sama katanya. 

“Itu satu daripada pilihan. Anda akan lihat esok apa pilihan yang saya akan buat,” katanya.

Mazzu juga berkata pendekatan akan digunakan mungkin bergantung sama ada Liverpool akan menurunkan Mohamed Salah, yang tidak bermain Ahad lalu.

“Apabila Salah tidak berada di padang, pergerakan penyerang agak sedikit berbeza. Saya tidak tahu sama ada dia akan ada di sana esok, sama ada dia cedera atau tidak, tapi kehadirannya akan memberikan perbezaan.” - Reuters

Berita Harian X