Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:20pm
Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho (kiri) dan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

'Klopp suka daging tapi dapat ikan' - Mourinho

MANCHESTER: Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho membidas kembali Jurgen Klopp selepas pengendali Liverpool itu menyalahkan pendekatan 'bertahan' United untuk terikat 1-1 di Old Trafford.

Marcus Rashford memberikan gol pendahuluan buat United namun Liverpool mendesak gol itu dibatalkan susulan kekasaran Victor Lindelof ke atas Divock Origi sebelum Adam Lallana mengikat kedudukan ketika perlawanan berbaki lima minit.

Bercakap selepas perlawanan, Klopp mendakwa United 'hanya bermain secara bertahan.

'"Sepanjang saya berada di England, beginilah cara United bermain. Perlawanan ini begitu gah namun satu pasukan lebih suka bertahan dan hanya satu pasukan yang mahu beraksi.

"Kami tidak rugi apa apa, ia hanya satu mata dan kita lupakan sahaja."

Namun ketika Mourinho ditanya berhubung kekecewaan dilontarkan Klopp terhadap pendekatan United, Mourinho membalas 'ini kerana dia tidak pernah menewaskan United di Old Trafford’.

"Dia tidak sukakan menunya. Dia suka daging tetapi dapat ikan, jadi sebab itulah dia tidak gembira.

"Liverpool lebih kuat jika menentang pasukan yang memberikan mereka banyak peluang untuk melakukan transisi dan serangan balas pantas.

"United berdepan kekangan ketika ini dan mereka terpaksa bermain dengan profil permainan yang berbeza. Mereka mengukuhkan pertahanan dan tidak beri peluang Liverpool melakukan transisi serta beraksi secara padat.

"Mereka (Liverpool) tidak sukakan menu di Old Trafford." - Agensi

Berita Harian X