Selasa, 22 Oktober 2019 | 8:20pm
Hamidin (depan, lima dari kanan) ketika melakukan kunjungan hormat ke atas MCFA, hari ini. - Ihsan FAM
Hamidin (depan, lima dari kanan) ketika melakukan kunjungan hormat ke atas MCFA, hari ini. - Ihsan FAM

Kerjasama FAM, MCFA tarik kaum Cina

KUALA LUMPUR: Usaha Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) yang berterusan mencari jalan mempromosikan sukan itu dalam kalangan komuniti Cina pantas mendapat pujian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Kami akan bekerjasama dengan MCFA dengan melancarkan program khas bagi menarik penyertaan lebih besar komuniti Cina, sama ada sebagai pemain, pengadil, jurulatih mahupun pegawai.

"Bermula dengan era 70-an, kita mempunyai aset negara seperti Datuk Soh Chin Aun, Wong Choon Wah kemudian Lim Chan Yew, Wong Sai Kong, Wong Kah Loon, Chan Wing Hoong dan hari ini kita ada Dominic Tan dan Damien Lim.

"Kita juga ada Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong yang menyumbang tenaga dalam barisan kejurulatihan. Kita perlu meningkatkan usaha mempromosikan lagi sukan ini dalam segala aspek," katanya ketika melakukan kunjungan hormat ke atas MCFA, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Datuk Sri Subahan Kamal dan Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dan Mohd Joehari Mohd Ayub serta exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

MCFA diwakili Presidennya, Datuk Jefferey Low Han Chau dan Timbalan Presiden, Datuk Wilson Lau Hoi Keong bersama barisan kakitangan dan exco.

Pada kunjungan itu, perbincangan bersama turut dilakukan dan FAM dimaklumkan punca utama kepada kurangnya pemain berbangsa Cina dalam sukan itu adalah disebabkan ibu bapa belum faham ekosisten sukan itu.

Untuk itu, Hamidin berkata badan induk berkenaan sedia beri pandangan dalam semua aspek terutama dalam membantu mendidik ibu bapa bagi meningkatkan penyertaan kaum Cina dalam bola sepak.

"Kita bukan sahaja akan memberi pandangan namun membuka perbincangan telus serta terbuka agar ahli gabungan terus terbela dalam usaha memacu bola sepak negara," katanya.

Berita Harian X