Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:08am

The Guardian iktiraf bakat Luqman Hakim

KUALA LUMPUR: Pemain dari Malaysia amat sukar untuk disebut sebaris dengan bintang terkemuka bola sepak antarabangsa, tidak seperti pemain daripada benua Asia yang lain.

Bagaimanapun, selepas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma 'melanggar' hukum fizik yang membolehkan dia merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, kini giliran pemain muda negara pula mendapat penghormatan sama.

Meskipun tidak memenangi anugerah, namun pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan dalam senarai 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian.

Menariknya, daripada 60 pemain yang disenaraikan itu, hanya lima pemain daripada Asia termasuk Luqman yang menarik perhatian untuk disenaraikan dalam kelompok pemain terbaik yang lahir pada 2002.

Empat pemain itu adalah Jun Nishikawa (Jepun/ Cerezo Osaka), Khasanov Mukhriddin (Tajikistan/ Parvoz), Suphanat Muenta (Thailand/ Buriram United) dan Jasurbek Jaloliddinov (Uzbekistan/ Bunyodkor).

Menurut John Duerden, Malaysia terpaksa menunggu bertahun lamanya untuk mendapatkan pengganti Mokhtar Dahari yang pernah menggegarkan gawang Arsenal pada 1975.

"Luqman dilihat antara pemain yang mungkin dapat menjadi pengganti Mokhtar dan penjaring terbanyak pada Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 itu berjaya menarik minat kelab Jepun.

"Bagaimanapun, dia menandatangani kontrak bersama pasukan dari Belgium milik ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan iaitu K V Kortrijk dan sebelum ke sana, dia akan menyertai sesi latihan bersama satu lagi pasukan milik Vincent, Cardiff City," katanya.

Ketika ini, pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu sedang menjalani latihan dengan pendahulu Liga Divisyen Satu Jepun (Liga J), FC Tokyo bersama dua lagi pemain iaitu penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Berita Harian X