Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:41pm
Gambar fail, Mohd Azraai Khor Abdullah. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Azraai mahu ceburi kerjaya lebih mencabar 

ALOR SETAR: Selepas 29 tahun menabur bakti dalam bidang kejurulatihan, jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah kini mahu beralih arah dan berazam untuk mencurah segala pengalaman yang ada pada dirinya untuk menceburi bidang baharu sebagai Pengarah Teknikal. 

Dengan sasaran baharu itu, beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam bidang kejurulatihan yang telah diceburi sejak 1991 bermula di Kedah. 

"Ya sudah sampai masanya saya menukar sedikit arah kerjaya untuk menceburi bidang Pengarah Teknikal selepas melihat potensi serta peluang yang ada dalam bidang berkenaan." 

"Berdasarkan pengalaman serta ilmu yang telah saya lalui bersama banyak pasukan, saya rasakan sudah tiba masa yang sesuai untuk saya menukar angin untuk bidang baharu pada musim depan." 

"Kita sedia maklum pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menggariskan bahawa setiap pasukan dalam Liga Malaysia perlu melantik Pengarah Teknikal dalam masa terdekat, dan sejajar dengan itu saya rasa sudah sampai masanya saya mencari peluang," katanya. 

Jurulatih yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik pada musim 2007 dan 2008 sewaktu menjulang Kedah sebagai juara tiga piala bagaimanapun mengakui bidang baharu berkenaan bukan suatu bidang yang mudah.

"Bidang ini sukar dan memang mencabar, seseorang perlu pengetahuan tinggi dalam aspek perancangan akar umbi dan perlu ada pengalaman luas dari masa ke semasa dalam semua peringkat.

"Kalau nak majukan liga, antara perkara penting yang sangat perlu dititik beratkan adalah pembangunan bola sepak terkini yang bergerak seiring dengan pembangunan akar umbi," katanya. 

Azraai memulakan langkahnya di dalam bidang kejurulatihan bermula 1990 mengendalikan Piala Presiden Kedah dan antara kejayaan besar dilakarnya adalah membawa Kedah ke pentas final Piala Malaysia 2004, juara Liga Perdana 2006, Juara Double Treble 2007 dan 2008. 

Jurulatih berusia 66 tahun dari Alor Setar ini juga pernah dilantik sebagai pengendali Harimau Muda A pada 2010 dan turut membantu mencipta kejayaan untuk Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia pada 2011, serta membawa Kelantan ke pentas final Piala FA pada musim 2015.

Selain aktif dalam aspek pembangunan akar umbi di Kedah, Azraai selaku ketua jurulatih skuad Piala Presiden musim ini, turut pernah menimba ilmu dengan menghadiri 'Study Tour' di Brazil pada 2018.

 

 

Berita Harian X