Rabu, 9 Oktober 2019 | 7:01pm
Gambar fail, jurulatih baharu AC Milan, Stefano Pioli. - Foto AFP

Pioli dilantik jurulatih baharu AC Milan

MILAN: Bekas gergasi Itali, AC Milan melantik Stefano Pioli sebagai jurulatih baharu sehari selepas Marco Giampaolo dipecat selepas mengemudi pasukan itu hanya untuk tujuh perlawanan.

Pengendali berusia 52 tahun yang juga bekas bos Inter Milan tiba dengan kontrak dua tahun, dilaporkan dibayar sekitar 2 juta euro (RM9.22 juta) setahun.

“AC Milan mengumumkan pelantikan berkuat kuasa serta merta Mr Stefano Pioli sebagai jurulatih baharu pasukan utama... menerusi kontrak dua tahun,” kata bekas juara Eropah tujuh kali itu dalam satu kenyataan.

Pioli, yang sebelum ini melatih Fiorentina, menjadi jurulatih kelapan Milan sejak Massimiliano Allegri mengetuai kelab itu meraih gelaran Serie A terakhir pada 2011.

Tugas Giampaolo hanya bertahan 111 hari selepas dia mengambil alih daripada bekas hero Milan, Gennaro Gattuso, yang meletak jawatan selepas gagal ke Liga Juara-Juara musim lalu apabila berkedudukan kelima liga.

Diharapkan Pioli, yang meletak jawatan di Fiorentina April lalu boleh membawa kestabilan di kelab dibelenggu masalah perbelanjaan itu yang terpaksa melupakan Liga Europa musim ini kerana melanggar peraturan kewangan UEFA. - AFP

Berita Harian X