Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:55pm
PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno. - Foto Eizairi Shamsudin
PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno. - Foto Eizairi Shamsudin

Insiden di GBK, PSSI didenda RM190,000

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) 45,000 franc swiss (RM190,000) susulan keganasan yang tercetus ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Malaysia di Jakarta, bulan lalu.

PSSI menerima hukuman itu, menurut lawan web rasmi badan induk berkenaan.

“PSSI menghormati proses perundangan dan keputusan yang diambil oleh FIFA. Kami akan memenuhi kewajipan dan melakukan penilaian supaya insiden serupa tidak berulang,” kata Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria.

Tisha menambah PSSI akan melakukan segala-galanya bagi mengelak insiden sama daripada berlaku dan berharap semua pihak yang berkepentingan bekerjasama bagi merealisasikan nilai positif dalam bola sepak.

Segelintir penyokong Indonesia bertindak tidak sepatutnya apabila melempar botol dan bom asap ketika perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) itu.

Berikutan kejadian itu, permainan yang dimenangi Malaysia 3-2 itu terpaksa dihentikan selama 10 minit dengan pemain dan pegawai Harimau Malaya diarahkan untuk menaiki kenderaan Barracuda untuk pulang ke hotel penginapan.

Sejurus kejadian, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata mereka akan mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung insiden berkenaan. - Agensi

Berita Harian X