Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:01am

Three Lions sedia boikot

LONDON: Pemain England bersedia meninggalkan padang jika mereka menjadi sasaran serangan perkauman ketika perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria, kata penyerang Tammy Abraham.

England bertemu Republik Czech dalam aksi Kumpulan A di gelanggang lawan, Jumaat ini sebelum membuat kunjungan ke Bulgaria bagi mengharungi perlawanan di stadium yang hampir ditutup susulan sikap perkauman yang ditunjukkan penyokong tuan rumah pada Jun lalu.

“Jika ia terjadi kepada salah seorang daripada kami, ia berlaku kepada kami semua,” kata Abraham memetik laporan BBC. "Harry Kane (kapten) berkata jika kami tidak gembira, jika pemain tidak gembira, kami semua akan keluar dari padang bersama-sama.”

Jurulatih England, Gareth Southgate membuat perjumpaan bersama barisan pemainnya, Isnin lalu bagi membincangkan tindakan yang akan diambil jika mereka berterusan menjadi sasaran perkauman di masa depan.

Protokol badan induk Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk perkauman memberikan kebenaran kepada pengadil untuk menghentikan perlawanan jika amaran kepada penyokong untuk menghentikan serangan perkauman kepada pemain tidak diendahkan.

"Perjumpaan itu dibuat jika ia berlaku, yang malangnya ia kadang kala berlaku, apa yang kami perlu lakukan dan apa protokol mengenainya,” kata seorang lagi pemain England, Fikayo Tomori memetik laporan Sky Sports.

“Dia (Southgate) hanya memberi taklimat kepada kami apa yang akan berlaku. Kami sepatutnya bersedia kerana kami tahu kadang kala kamu pergi ke sesebuah negara dan perkara seperti itu boleh berlaku.”

UEFA mengarahkan Stadium Nasional Bulgaria ditutup separuh berikutan sikap perkauman yang ditunjukkan penyokong pasukan itu ketika perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Kosovo, Jun lalu.

England ketika ini menghuni tangga teratas kumpulan selepas mengutip 12 mata dan akan layak ke pusingan akhir jika mereka menewaskan pasukan tangga kedua, Republik Czech. - Reuters

Berita Harian X