Sabtu, 5 Oktober 2019 | 12:45am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengendali Leicester, Brendan Rodgers.

Mampukah The Foxes gugat Liverpool di Anfield?

KOLUM APA KATA EPL

Biarpun berdepan cabaran sengit minggu lalu ketika bertandang ke Sheffield, kelab Liverpool tiada masalah untuk membawa pulang tiga mata bagi mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan ketujuh berturut-turut daripada tujuh perlawanan yang dicatatkan anak buah Jurgen Klopp itu mengekalkan rekod aksi sempurna mereka dan meletakkan kelab berkenaan kini sebagai pilihan utama untuk menjuarai liga musim ini. Dengan kelebihan lima mata di belakang penyandang juara, Manchester City hasil himpunan 21 mata, skuad The Reds menyambut kunjungan Leicester City di Anfield malam ini untuk aksi kelapan.

Melihat kepada prestasi semasa, tidak banyak yang merisaukan Klopp dan penyokong mereka. Meskipun berhempas pulas menewaskan Sheffield United, 1-0 minggu lalu, selain terbaharu hampir dikejutkan kelab Red Bull Salzburg pada pertengahan minggu di laman sendiri selepas selesa mendahului 3-0 sebelum menang 4-3, ia bukanlah petunjuk kemerosotan The Reds.

Pun begitu, saya jangkakan perlawanan di Anfield jam 10 malam ini, bakal sengit, sama seperti ketika mereka berdepan kelab dari Austria itu dalam saingan Liga Juara-Juara. Sebagai rekod, Liverpool tak pernah tewas kepada Leicester dalam lapan aksi terakhir di Anfield yang merangkumi enam kali menang dan dua kali seri. Kali terakhir mereka tewas menentang The Foxes pada Mei 2000 (0-2).

Seperti juga Klopp, pengendali Leicester, Brendan Rodgers sudah pastinya amat bersedia berdepan pasukan yang pernah dibimbingnya suatu masa dulu itu. Sebelum ke Anfield, Leicester hadir dengan motivasi tinggi selepas membelasah Newcastle United, 5-0 di Stadium King Power untuk sekali gus menduduki tangga ketiga liga dengan himpunan 14 mata, ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool.

Saya tidak menjangkakan Rodgers ada magis untuk memalukan Klopp malam ini. Namun bekas pengendali Celtic itu sudah pun mengaibkan Tottenham 2-1 selain mengikat Chelsea 1-1 sebelum ini. Mampukah The Foxes `baham’ The Reds di Anfield sekali gus meleburkan rekod cemerlang calon juara itu? Sama-sama kita nantikan jam 10 malam ini.

Selain aksi Liverpool-Leicester, satu lagi aksi menarik untuk kita saksikan adalah perlawanan di Stadium Falmer antara Tottenham dan Brighton jam 7.30 malam ini. Kenapa? Sebab kita ingin melihat mampukah pasukan bimbingan Mauricio Pochettino yang menjadi mangsa belasahan 2-7 Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini bangkit.

Naib juara Liga Juara-Juara musim lalu itu bagaikan hilang arah dalam beberapa minggu ini, hingga menimbulkan persoalan mengenai cabaran mereka sama ada di peringkat domestik dan Eropah. Minggu lalu, mereka menang 2-1 ke atas Southampton aksi EPL. Namun sebelum itu, mereka tewas 1-2 kepada Leicester. Tambah mengejutkan, Spurs juga dimalukan oleh kelab kerdil, Colchester menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 0-0 dalam saingan Piala Liga di laman lawannya itu minggu lalu.

Dalam pada itu, City yang turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Dinamo Zagreb saingan Liga Juara-Juara, dijangka berdepan laluan berliku apabila menyambut kunjungan Wolves yang sebelum ini terkenal dengan strategi mantap dalam mengejutkan gergasi EPL. Sebelum ke Etihad, kelab ini mencipta kejutan apabila menewaskan Besiktas, 0-1 dalam saingan Liga Europa kelmarin.


FRANK Lampard

Sementara itu, Chelsea dijangka tiada masalah mengenepikan Southampton apabila berkunjung ke St Mary’s manakala Arsenal yang terikat 1-1 dengan United di Old Trafford sebelum ini juga diramal mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Bournemouth. United pula bakal berdepan ujian untuk bangkit apabila bertandang ke St James Park bertemu Newcastle. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Brighton 1 Tottenham 2

Norwich 3 Aston Villa 1

Watford 2 Sheffield 2

Liverpool 2 Leicester 1

West Ham 1 C Palace 2

Southampton 0 Chelsea 2
Man City 2 Wolves 0

Arsenal 3 Bournemouth 1

Newcastle 0 Man United 2

Berita Harian X