Ahad, 22 September 2019 | 7:31am
ROMELU Lukaku meraikan jaringan gol bersama Antonio. - Foto Reuters
ROMELU Lukaku meraikan jaringan gol bersama Antonio. - Foto Reuters

Lukaku wira Inter benam AC Milan

MILAN: Pendahulu Serie A, Inter Milan menewaskan seteru utamanya, AC Milan 2-0 di Stadium San Siro dalam saingan Serie A pagi tadi sekali gus mengekalkan penguasaan 100 peratus dalam kempen awal musim ini.

Jaringan babak kedua dari Marcelo Brozovic dan Romelu Lukaku memastikan Inter pulang dengan tiga masa sambil memberi isyarat bahaya kepada barisan Marco Giampaolo itu.

Selepas diikat 1-1 oleh Slavia Prague dalam Liga Juara-Juara Selasa lalu, Inter bangkit mencerahkan harapannya meraih 'scudetto' pertamanya musim ini selepas 10 tahun menanti.

Jurulatihnya, Antonio Conte, pada musim pertamanya bersama Inter, mengakui kejayaan itu menjadi petanda positif bahawa anak buahnya sudah mula bekerja.

"Ia pertembungan tetangga yang selalunya sangat istimewa, susah diramal, terutama kedua pasukan berkongsi prestij sebagai Inter dan Milan,” kata Conte.

ROMELU Lukaku meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam saingan Serie A pagi tadi. - Foto Reuters
ROMELU Lukaku meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan dalam saingan Serie A pagi tadi. - Foto Reuters

“Anak buah saya beraksi dengan baik dalam semua aspek. Kami hadir dengan semangat mengubati duka di Liga Juara-Juara yang sedikit terkesan dan berharap ia sentiasa membakar semangat untuk berdepan pesaing dengan langkah yang betul.

"Kami berhak dengan kemenangan ini, saya gembira dengan sokongan penonton, kerana pertembungan tetangga biasanya berlangsung dengan suasana hebat.”

Inter, yang belum tewas dalam tujuh saingan liga menentang Milan, memecah kebuntuan pada minit ke-49 hasil ledakan Brozovic.

Sepakan percuma pantas Stefano Sensi disambar Brozovic di luar kotak penalti sebelum meledak dan tekena badan Rafael Leao untuk bola melepasi jangkauan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.

Rujukan VAR membenarkan gol itu selepas mendapati kedudukan Lautaro Martinez tidak ofsaid.

Ia kali ketiga keputusan VAR digunakan yang menyaksikan jaringan minit ke-23 pemain Milan, Hakan Calhanoglu dibatalkan selepas didapati tertampan tangan Franck Kessie dan kemudian gol jaringan pemain Inter, Lautaro Martinez turut dibatalkan.

Lukaku memastikan kemenangan Inter menerusi jaringan minit ke-78 menyudahkan hantaran lintang Nicolo Barella dari kiri pintu gol lawan.

Inter, nyaris menambah gol ketiga apabila cubaan Matteo Poltano terkena palang disusuli kehampaan Andrea Candreva.

Giampaolo berkata bahawa Milan, yang memenangi dua dari empat perlawanannya, gagal memperagakan pengalaman sebenar mereka.

"Kami bermula hambar sejak mula dan kemudian Inter menguasai permainan,” katanya.

"Gol pertama menggugat semangat dan saya tidak gembira dengan tindak balas pada aksi ini, kami tidak tersusun dan kelihatan tak bersatu.” – Reuters

Berita Harian X