Sabtu, 21 September 2019 | 11:11am
PEMAIN Manchester United, Jesse Lingard, Ashley Young dan Marcus Rashford menjalani latihan. - Foto REUTERS

Man Utd mahu Lingard tingkat prestasi

LONDON: Jesse Lingard dilaporkan hampir menandatangani kontrak baharu di Manchester United namun masalah prestasinya di kelab itu menuntut dia menampilkan persembahan lebih baik.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer memulakan musim ini dengan penuh bergaya, membelasah Chelsea 4-0 di Old Trafford tetapi gagal meledak lebih daripada satu gol dalam lima aksi terakhir.

Mereka bakal berdepan aksi yang sukar menentang West Ham esok disusuli perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Arsenal dan Liverpool pada bulan berikutnya.

Perpindahan Romelu Lukaku ke Itali meninggalkan Solskjaer tanpa pilihan di jentera serangan, dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial dijangka mengisi kekosongan terbabit.

Pemain sayap baharu, Daniel James setakat ini tampil memikat, meledak tiga kali, tetapi sehingga jaringan kemenangan Mason Greenwood di Astana dalam aksi Liga Europa, kelmarin, ketiga-tiga pemain berkenaan sudah menghasilkan gol untuk United setakat ini.

Ia mencetus keraguan terhadap kemampuan bahagian tengah United yang dilihat kurang kreatif selain gagal mengambil tanggungjawab menyumbat gol.

Lantas peminat menjadikan Lingard yang juga perancang tengah England sebagai mangsa kecaman di media sosial gara-gara prestasi longlainya setakat ini.

Dia langsung tidak menjaringkan dan membuat umpann gol sejak Januari lalu dan penyokong yang tidak lagi dapat bersabar mempersoalkan keputusan untuk menawarkan kontrak baharu.

Solskjaer sudah bercakap dengan Lingard selepas dia digantikan sewaktu kekalahan kepada Crystal Palace bulan lalu dengan berkata dia "kekal memainkan peranan penting (kepada pasukan kita)".

Dan pengurus England, Gareth Southgate  mempertahankan keputusannya untuk menamakan Lingard di dalam skuadnya yang beraksi pada kempen kelayakan Euro 2020.

"Saya fikir anda perlu katakan yang saya sudah melihat dia pernah menharungi tempoh yang baik di United," kata Southgate.

"Saya fikir Ole mempunyai pasukan muda yang bertenaga, dan saya fikir kemampuan Jesse untuk menekan pihak lawan dan tenaga dibawanya menjadi perkara penting terhadap apa yang mereka mahu lakukan dalam beberapa perlawanan awal." – AFP

Berita Harian X