Ahad, 15 September 2019 | 9:21pm
Muhammad Ferris Danial Mat Nasir tekad bantu Negeri Sembilan layak ke suku akhir. - Foto BERNAMA

NS tekad cipta kejutan

SEREMBAN: Muhammad Ferris Danial Mat Nasir enggan memikirkan peluang Negeri Sembilan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini, biarpun dia berjaya membantu pasukan itu menewaskan PKNS FC, 3-1, di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Penyerang berusia 27 tahun itu sedar misi pasukannya ke peringkat saingan kalah mati itu dilihat mustahil kerana perlu menewaskan Kedah dengan jaringan yang besar, pada aksi terakhir Kumpulan A, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa ini.

Katanya, dia berpuas hati kerana berjaya menjaringkan gol dan membantu pasukan menewaskan PKNS, dalam perlawanan berkenaan.

"Memang kemenangan itu dapat membuka peluang ke suku akhir, namun dengan kejayaan Kedah menewaskan Terengganu FC (TFC) laluan kami menjadi sukar kerana perlu menang ke atas Kedah dengan jaringan yang besar,” kata Ferris Danial.

"TFC yang menduduki tangga kedua carta ketika ini dengan kutipan sembilan mata dilihat memiliki kelebihan berbanding kami yang setakat ini hanya mengumpul enam mata.

"Apapun, kami akan turun ke Alor Setar dengan berbekalkan semangat dan kesungguhan tinggi untuk mencatatkan keputusan positif bagi membalas dendam di atas kekalahan yang dialami di laman sendiri sebelum ini, tanpa terlalu memikirkan peluang sama ada layak ke suku akhir atau sebaliknya."

Negeri Sembilan yang menduduki tangga ketiga carta perlu menewaskan Kedah dengan sekurang-kurangnya enam gol untuk mengenepikan TFC, sesuatu yang dilihat sukar dilakukan skuad bimbingan Zaki Sheikh Ahmad itu.

Bagi Ferris Danial, fokusnya untuk meneruskan persembahan terbaik dan mahu menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

Menurutnya, dia dan rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin tetap mahu meneruskan aksi mantap bagi mendapatkan kemenangan sekali gus mempertahankan maruah pasukan. 

"Saya dan rakan sudah pasti mahukan kemenangan di Alor Setar nanti kerana ia perlawanan terakhir kumpulan. 

"Saya berharap mampu terus menjaringkan gol dan membantu merealisasikan impian pasukan walaupun tugas bakal dihadapi nanti bukan mudah," katanya.

Berita Harian X