Rabu, 11 September 2019 | 11:34pm
JURULATIH skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kena kerja lebih keras: Cheng Hoe

BUKIT JALIL: Terima kasih Harimau Malaya!

Sekali pun kecewa gagal mencuri sekurang-kurangnya satu mata selepas tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, ada petanda positif yang dipamerkan pemain.

Menjaringkan gol seawal minit pertama, menekan pemain lawan hingga menghadirkan rasa gusar seluruh kem UAE membuktikan betapa Harimau Malaya kini bukan lagi tempang seperti ketika pernah menjadi 'lauk' tewas 10-0 empat tahun lalu.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe merasakan tiada apa-apa lagi yang boleh dia minta daripada pemain namun akui perlu kekal bekerja keras jika mahu catat keputusan lebih baik.

"Keseluruhannya pemain tunjukkan prestasi yang cukup baik. Sudah pasti pada 20 minit di babak pertama kami patut dapat lebih banyak gol,” kata Cheng Hoe.

"Komitmen pemain memang tidak boleh dinafikan. Mereka sudah berikan yang terbaik sepenuh jiwa mereka. Tetapi kami kena terus bekerja keras untuk menghadapi perlawanan selepas ini." 

Pada perlawanan tu, Ali Ahmed Mabkhout memastikan UAE pulang dengan tiga mata selepas dua jaringannya berjaya menafikan gol pembukaan Malaysia menerusi Syafiq Ahmad seawal minit pertama.

Harimau Malaya kini kekal dengan tiga mata dan menduduki tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketika ditanya mengenai adakah faktor keletihan selepas aksi dengan Indonesia sebelum ini membezakan Harimau Malaya dan UAE yang baharu bermain sekali, Cheng Hoe tetap mengakui perkara itu tetapi enggan menjadikannya sebagai alasan.

"Ya.. saya tidak boleh berikan ia sebagai alasan. Sudah pasti mereka mengharungi persiapan yang baik sejak Julai dan mereka juga datang awal ke Malaysia.

"Kami pula berdepan aksi mencabar ketika menentang Indonesia tetapi keseluruhannya ia (perlawanan ini ) bagus sebagai motivasi kepada pemain serta jadi pengajaran berguna ketika bermain dalam aksi berkualiti tinggi," katanya.

2740 dibaca
Berita Harian X