Rabu, 11 September 2019 | 2:30pm
PEMAIN Terengganu FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi. - Foto ihsan Mohamad Nabil

Nabil tak sabar pulun Kedah

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC) kelahiran Kedah, Mohamad Nabil Ahmad Latpi mahu melupakan seketika ikatan persaudaraan di padang apabila dua pasukan itu bertembung pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Bekas pemain kelab Ultimate FC berasal dari Kampung Paya Sulaiman, Pendang itu yang dipancing pada jendela kedua perpindahan pemain pada Mei lalu berazam memperagakan aksi terbaiknya selain mahu membuktikan dirinya tetap bernilai biarpun tidak mendapat tempat dalam skuad Helang Merah itu.

Pemain berusia 27 tahun juga tekad mahu meledak gol bagi membantu pasukannya mencatat kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua Kumpulan A itu.

“Jika diberi peluang, saya tidak akan mempersiakan kepercayaan itu dengan aksi terbaik selain mengintai peluang untuk menjaringkan gol.

“Sasaran saya sudah pasti mahu membantu pasukan mencatat kemenangan bagi memastikan kami layak ke suku akhir lebih awal walaupun mendapat tentangan sengit daripada tiga pasukan lagi termasuk Negeri Sembilan dan PKNS FC.

“Tunggu pada Jumaat ini sambil mengharapkan kami dapat melaksanakan strategi yang dirancang jurulatih dengan sebaik mungkin untuk melakar kemenangan,” ujar Nabil yang pernah menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim 2017 dan 2018.

Skuad Penyu yang kini mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan dilihat belum selamat untuk melangkah ke suku akhir kerana pasukan Kedah dan PKNS FC masih berpeluang meranapkan impian naib juara Piala Malaysia musim lalu itu melangkah dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

TFC yang dibimbing pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain perlu mencatatkan kemenangan bertemu skuad Helang Merah itu bagi mengesahkan tempat lebih awal ke suku akhir sambil mengharapkan pertemuan PKNS FC dengan Negeri Sembilan berakhir dengan seri.

1928 dibaca
Berita Harian X