Isnin, 9 September 2019 | 4:20pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Kebesaran Pingat Jasa yang membawa gelaran Datuk kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Kebesaran Pingat Jasa yang membawa gelaran Datuk kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Hamidin terima pingat PJN daripada Agong

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Hamidin yang menerajui FAM sejak Julai 2018, adalah antara 42 individu yang menerima darjah kebesaran masing-masing pada istiadat penganugerahan di Istana Negara.

Hamidin, 54, sebelum ini menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009.

Beliau kemudian menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012 selain Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Hamidin yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung FAM di bawah pentadbiran Al Sultan Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM pada 2014 hingga 2017.

Susulan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden FAM pada awal 2018, Hamidin dipilih sebagai pengganti pada Julai tahun yang sama.

Hamidin yang juga bapa kepada empat anak, mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih ke atas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas penganugerahan darjah kebesaran PJN yang disifatkan sebagai pengiktirafan tertinggi di peringkat persekutuan untuk seorang pentadbir sukan.

"Tuanku Al-Sultan Abdullah adalah bekas Presiden FAM yang sangat berjasa dalam bola sepak. Saya menjunjung kasih terhadap Tuanku atas penganugerahan darjah kebesaran PJN ini.

"Dengan bantuan semua rakan di FAM dan pemegang taruh serta agensi kerajaan, saya berikrar untuk terus berusaha memartabatkan mutu bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi, di peringkat Asia dan dunia khususnya.

"Anugerah dan tanggungjawab ini akan saya pikul dengan sebaiknya dan diharap berbekalkan sokongan padu rakyat Malaysia, kita sama-sama dapat menaikkan lagi Harimau Malaya ke persada dunia," kata Hamidin.

Berita Harian X