Ahad, 8 September 2019 | 8:14pm

FIFA patut gantung Gelora Bung Karno - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) patut menggantung Stadium Geloran Bung Karno.

Ia susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Indonesia ketika aksi Kumpulan G kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di gelanggang itu, Khamis lalu.

Namun, Hamidin menjelaskan segala keputusan terpulang kepada FIFA sebagai penganjur untuk mengambil tindakan paling terbaik.

Beliau berkata, FAM akan menghantar laporan berhubung insiden itu kepada FIFA pada Selasa ini untuk tindakan lanjut daripada badan induk itu.

"Kita sudah dapat bukti untuk dihantar ke FIFA dan butiran terperinci tidak boleh maklumkan. Apa yang terjadi seperti penyokong (Indonesia) masuk ke dalam (tempat duduk penyokong Malaysia), nyanyian yang tidak baik buat pasukan dan penyokong kita, perlawanan tertangguh dan naik Barracuda, itu semua sudah salah.

"Kalau tanya pendapat saya, elok FIFA menggantung Stadium Gelora Bung Karno. Tapi FIFA pasti akan melakukan siasatan terperinci dan berlaku adil.

"Kita juga faham PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) dan pihak keselamatan di sana sudah berusaha keras untuk memastikan perkara seperti itu tidak terjadi.

"Kita juga perlu ingat, kejadian ini selalu terjadi dengan Malaysia, dengan negara lain jarang terjadi. Jadi mungkin ada sentimen yang saya tidak boleh jelaskan," katanya, hari ini.

Selain itu, Hamidin turut memberi jaminan bahawa tahap keselamatan terbaik bakal disediakan bagi aksi kedua Kumpulan G berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Selasa ini.

"FAM sudah buat berusaha sebaik mungkin dan mengikut prosedur yang ditetapkan FIFA. Kita harap semua penyokong dapat menjaga tingkah laku dan tiada perkara tidak diingini berlaku," katanya.

PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno. - Foto Eizairi Shamsudin
PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung karno. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X