Jumaat, 6 September 2019 | 6:35pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam

FAM buat aduan kepada FIFA, AFC kekecohan di Jakarta

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung insiden tindakan ganas penyokong Indonesia ketika berdepan Malaysia di Jakarta, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya sedang mengumpul bukti kukuh sebelum tindakan seterusnya dapat diambil termasuk membuat aduan kepada badan induk dunia dan Asia itu.

Beliau berkata, pihaknya amat kecewa dengan gangguan penyokong pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di di Stadium Gelora Bung Karno itu.

Katanya, FAM menganggap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi pihak kuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang berlaku dan mengotakan janji yang diberikan mengenai jaminan keselamatan buat pasukan serta penyokong Harimau Malaya.

"Memandangkan FAM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak mempunyai bidang kuasa di Indonesia, kami mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui dua mesyuarat bertarikh 20 Ogos dan 27 Ogos lalu yang turut dihadiri Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ACP (Asisten Komisioner) Kamarulzaman Maarof.

"Walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium untuk kira-kira 300 penyokong (Harimau Malaya) dalam enam bas, keadaan tetap menjadi huru-hara. Kami amat kecewa dengan jawatankuasa pengelola tempatan kerana kegagalan mereka menunaikan janji serta persefahaman yang dicapai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PSSI kemungkinan berdepan hukuman berat daripada FIFA termasuk denda dan beraksi tanpa penyokong untuk perlawanan seterusnya.

Berdasarkan rekod sebelum ini, FAM juga pernah didenda 40,000 Swiss francs (kira-kira RM169,000) dan beraksi satu perlawanan tanpa penonton selepas penyokong Harimau Malaya menimbulkan kekecohan ketika kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Arab Saudi pada September 2015.

Selain itu, Stuart turut memuji sikap penyokong Harimau Malaya yang bertindak balas secara positif dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang dicetuskan penyokong Indonesia.

"Kami nasihatkan anda (penyokong) untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita, sama ada peminat Indonesia, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Thailand atau Vietnam terhadap semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti,” katanya.

2309 dibaca
Berita Harian X