Jumaat, 6 September 2019 | 6:30pm

Cheng Hoe harap insiden matangkan Harimau Malaya, penyokong

SEPANG: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap insiden yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta kelmarin dapat mematangkan pemainnya dan penyokong terutamanya ketika menerima kunjungan pasukan lawan ke Kuala Lumpur.

Walaupun tiga mata pertama di kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 hasil kemenangan 3-2 diraih dengan cara sukar dan mencemaskan hingga terpaksa 'diangkut' dengan kenderaan barracuda, jurulatih itu bertegas belum tiba masanya untuk pemain berpesta.

Malah Cheng Hoe juga mengingatkan penyokong supaya lebih mengutamakan semangat kesukanan berbanding perkara remeh termasuk hal sentimen kenegaraan.

"Pemain kena tingkatkan lagi prestasi kerana kalau dilihat kita masih lagi tidak sampai tahap terbaik. Setiap perlawanan adalah penting dan ini adalah pengalaman terbaik untuk kami beraksi di pentas lebih tinggi.

"Kita kena teruskan momentum dan pemain tidak boleh khayal dengan tiga mata ini. Sikap tidak berputus asa membolehkan kita menang dan ia pastinya permulaan yang baik untuk kita.

"(Untuk penyokong) Bagi saya ini adalah hanya perlawanan bola. Kita negara Asia Tenggara adalah serumpun. Dalam padang kita lawan tetapi di luar kita kawan," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) di sini, sebentar tadi.

Mengulas tentang perbezaan dialaminya naik kenderaan barracuda buat kali kedua selepas Piala AFF 2010, Cheng Hoe berkata ia satu detik yang berbeza.

"Suasana berbeza kerana ketika di AFF, kita ke Jakarta dengan keputusan 3-0 dan hanya mengharapkan tidak bolos di sana. Tetapi kali ini setiap perlawanan kita memerlukan mata. Kalau tercicir mata penting akan menyebabkan kita gagal berada dalam kedudukan terbaik," katanya.

1782 dibaca
TAN Cheng Hoe
Berita Harian X