Khamis, 5 September 2019 | 11:53pm

Video penyokong Indonesia serang penyokong Malaysia viral

KUALA LUMPUR: Video sejumlah penyokong Indonesia menyerang kawasan tempat duduk penyokong skuad Harimau Malaya yang sedang menyaksikan perlawanan pasukan bola sepak kedua-dua negara bertarung pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini, viral sebentar tadi.

Ia dipercayai dirakamkan oleh beberapa penonton yang turut berada di kawasan stadium berkenaan dan menyaksikan insiden terbabit. Akibat insiden berkenaan, pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin terpaksa menghentikan perlawanan Indonesia- Malaysia itu pada minit ke-69.


PENYOKONG Indonesia yang menyerang kawasan penyokong Harimau Malaya ditahan pasukan keselamatan.

Selain serangan beberapa penonton, video yang viral itu turut memaparkan penyokong Indonesia membaling botol dan pelbagai objek dari tingkat atas ke arah kawasan penyokong skuad Harimau Malaya. Malah ada juga kelihatannya seperti suar.

Perlawanan antara skuad Garuda dan Harimau Malaya ini terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.

Selepas itu, tiada sebarang insiden berlaku dan perlawanan terus berlangsung sehingga wisel penamat yang menyaksikan Malaysia menang 3-2.

16719 dibaca
PENYOKONG Indonesia memasuki kawasan padang ketika perlawanan sedang berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta. - Foto Eizairi Shamsudin
PENYOKONG Harimau Malaya terpaksa dikumpulkan di kawasan selamat Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Berita Harian X