Ahad, 25 Ogos 2019 | 1:36pm
Ferris Danial kembali mendapat rentak membantu Negeri Sembilan melakar kemenangan sulung menewaskan TFC, 3-2, Jumaat lalu. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ferris Danial mahu terus julang NS

SEREMBAN: Muhammad Ferris Danial Mat Nasir kembali mendapat rentak membantu Negeri Sembilan (NS) melakar kemenangan sulung menewaskan Terengganu FC (TFC), 3-2, Jumaat lalu, mahu mengekalkan prestasi itu dalam perlawanan akan datang.

Penyerang berusia 27 tahun itu yang menjaringkan gol pada minit kedua perlawanan, berkata, dia mahu terus memainkan peranan membantu pasukan mendapatkan kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan A.

"Sebelum ini kami dapat peluang tapi tak boleh skor dan Alhamdulillah, kali ini berhasil. Saya berharap dapat terus jaringkan gol dalam perlawanan akan datang untuk bantu pasukan mendapatkan kemenangan.

"Kejayaan ke atas TFC ini juga diharap dapat jadi pencetus semangat kepada pemain dalam usaha meneruskan rentak kemenangan pada baki dua perlawanan iaitu bertemu PKNS FC dan Kedah, selepas ini," katanya di sini, hari ini.

NS yang masih kekal di tangga tercorot Kumpulan A, kini mengutip tiga mata berbanding TFC (sembilan mata) diekori Kedah (tujuh mata) dan PKNS (empat mata).

Ferris Danial yang juga bekas pemain TFC itu berkata, dia dan rakan sepasukan perlu memantapkan lagi persembahan masing-masing kerana cabaran selepas ini lebih getir dengan kekalahan satu perlawanan akan menutup terus peluang mereka ke suku akhir.

"Kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat sebelum saingan kembali bersambung, 13 September nanti, untuk tingkatkan lagi prestasi dan memperbaiki setiap kelemahan dalam pasukan.

"Semua rakan dalam pasukan ini sedar tanggungjawab masing-masing. Kami akan terus bekerja keras dan saya harap kemenangan pertama yang kami peroleh ini dapat meningkatkan lagi motivasi kami untuk beraksi lebih baik.

"Kami akan berusaha membawa pasukan melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini, selepas gagal merealisasikan sasaran dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Berita Harian X