X
Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:57am
ELKESON menjadi pemain terbaru diserapkan ke dalam skuad bola sepak kebangsaan China. - Foto AFP
ELKESON menjadi pemain terbaru diserapkan ke dalam skuad bola sepak kebangsaan China. - Foto AFP

China lulus 9 pemain naturalisasi

SHANGHAI: Skuad bola sepak kebangsaan China mungkin boleh menggunakan keseluruhan pemain kelahiran negara luar selepas kerajaan negara komunis itu meluluskan kerakyatan kepada sembilan pemain luar untuk memudahkan kempen mereka layak ke Piala Dunia 2022, di Qatar.

Kelmarin, seorang pemain sayap kelahiran Brazil, Elkeson menjadi pemain terbaru tanpa kacukan Cina diserapkan ke dalam skuad kebangsaan tatkala negara Tembok Besar itu mahu memburu tiket layak kali kedua ke Piala Dunia 2022.

Pemain berusia 30 tahun itu dijangka memulakan aksi pertamanya di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 bulan depan di Maldives, yang turut menyaksikan seorang lagi pemain kelahiran London, Nico Yennaris yang memiliki darah keturunan Cina akan tampil buat kali ketiga.

"Kami mahu ke Qatar (Piala Dunia 2022).” kata Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA) yang baru, Chen Xuyuan, kepada media semalam.

"Pemain naturalisasi amat berguna untuk membantu matlamat jangka pendek pasukan kebangsaan kita.

"Setakat ini, pasukan sudah mendaftar sembilan pemain naturalisasi sama ada yang memiliki kacukan Cina atau tidak dengan CFA, beberapa lagi pemain sedang dalam proses mendaftar sebagai pemain naturalisasi.

Chen sudah menamakan keselebelasan utama skuad kebangsaan China dan mengesahkan lebih ramai pemain naturalisasi akan mewakili pasukan itu pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.

“Tapi ini bukan polisi jangka panjang CFA dan bilangannya akan dihadkan,” katanya seperti dipetik agensi berita Xinhua.

Difahamkan beberapa pemain Brazil yang mewakili kelab Liga Super China dikatakan terbabit dalam projek berkenaan termasuk pemain kelahiran England, Tyias Browning.

Begitupun, langkah pemberian kerakyatan kepada pemain luar itu mendapat pelbagai reaksi kalangan penyokong bola sepak China.

Ada yang menyokong langkah CFA itu kerana teruja melihat pasukan bimbingan Marcello Lippi itu mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua.

Namun tidak kurang juga yang membantah langkah CFA itu dengan mendakwa China yang memiliki 1.4 bilion penduduk sepatutnya dengan mudah memilih 11 pemain untuk membarisi pasukan kebangsaannya.

Setakat ini, China hanya sekali melangkah ke Piala Dunia 2002 namun bungkus awal tanpa sebarang mata dan gagal menyumbat sebarang gol.

President Xi Jinping menetapkan supaya skuad bola sepak China mencapai tahap skuad Piala Dunia menjelang 2050, namun skuad itu kini menghuni ranking ke-71 FIFA.

Selain itu, Chen mengakui China berhasrat menjadi tuan rumah Piala Dunia yang sememangnya menjadi agenda utama pemerintahan Jinping.

"Menjadi tuan rumah Piala Dunia adalah impian seluruh warga China termasuk saya,” kata Chen.

"CFA akan mengadakan perbincangan dan membuat analisis mengenai tarikh sesuai untuk membuat bidaan tersebut.”– AFP

Berita Harian X