Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:23pm

Selangor pertahan kejuaraan Piala Sultan Selangor

SHAH ALAM: Pasukan Pilihan Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor yang dimenangi tahun lalu selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pilihan Singapura di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jaringan Ifedayo Olusegun yang berpunca daripada hantaran Amri Yahyah pada minit ke-18 sudah cukup untuk Selangor menjulang trofi itu buat kali ke-10.

Keputusan itu turut menyaksikan Singapura kekal dengan rekod lapan kali muncul juara Piala Sultan Selangor termasuk juara bersama pada 2004.

Terdahulu, skuad bawah 15 (B-15) tahun Selangor muncul juara kategori Piala Cabaran Sekolah-Sekolah Selangor dan Singapura selepas meraih kemenangan bergaya 3-1 pada aksi sebelah petang.


Pemain pasukan Selangor meraikan kemenangan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan pasukan Singapura 1-0 pada Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pemain pilihan Selangor, Sandro Da Silva Mendoca diasak pemain pilihan Singapura, Muhd Hami Syahin Said pada Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bersama Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah (dua, kanan) ketika sesi pengenalan para pemain pada Perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di antara pasukan pilihan Selangor menentang pasukan pilihan Singapura yang berlangsung di Stadium Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Semua jaringan terhasil pada babak pertama dengan gol Selangor disumbangkan Harry Danish Haizon, Muhd Afiq Haikal dan Aliff Nufail Azman, manakala gol tunggal Singapura dihasilkan Amir Syafiz Abdul Rashid.

Kecemerlangan itu bagaimanapun gagal diteruskan oleh pasukan Veteran Selangor apabila tumpas 0-2 menerusi penentuan penalti kepada Veteran Singapura selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Persembahan kedua-dua pasukan veteran itu dilihat berjaya memukau penyokong di stadium yang turut menggamit nostalgia dua musuh tradisi itu.

Antara legenda Selangor yang beraksi pada perlawanan itu termasuk Datuk Soh Chin Aun, Karim Pin, P Maniam, Shahril Majid dan Khalid Ali.

Sementara itu, pasukan Veteran Singapura pula menampilkan Fandi Ahmad selaku kapten, Nazri Nasir, Malek Awab dan Razali Saad.

2698 dibaca
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (tiga, kanan) serta Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah (tiga, kiri) berkenan berangkat bagi menyaksikan Perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di antara pasukan pilihan Selangor menentang pasukan pilihan Singapura yang berlangsung di Stadium Shah Alam, hari ini. Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan isteri Datin Seri Shamsidar Taharin serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (dua, kiri). - Foto BERNAMA
Berita Harian X