Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:43pm
Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kiri) bersama Ketua Delegasi Singapura, Datuk Teo Hock Seng memegang trofi Piala Sultan Selangor pada sidang media di Singapura, Mac lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kiri) bersama Ketua Delegasi Singapura, Datuk Teo Hock Seng memegang trofi Piala Sultan Selangor pada sidang media di Singapura, Mac lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Veteran Selangor ada misi penting

KUALA LUMPUR: Pasukan Veteran Selangor memiliki misi tersendiri pada aksi Piala Sultan Selangor 2019 bertemu pasukan Veteran Singapura, Sabtu ini - mahu memenangi trofi dalam aksi masa sebenar.

Meskipun bergelar juara pada edisi lalu, pemain pasukan Veteran Selangor, P Maniam mahukan kemenangan mutlak buat mereka memandangkan trofi 2018 dimenangi mereka menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Malah, penganjuran Piala Sultan Selangor 2019 yang hampir dengan sambutan Hari Kebangsaan turut membuatkan semangat pemain Veteran Selangor melonjak bagi memastikan kejuaraan itu kekal di bumi Selangor.

“Kalau boleh, kami mahu memenangi perlawanan kali ini. Bukan hanya seri dan kemudian memenanginya dengan sepakan penalti,” kata Maniam.

“Bagi saya, Piala Sultan Selangor adalah satu aksi yang besar dan mengimbau kembali kenangan pemain kedua dua pasukan. Sudah tentu kami mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

“Persiapan berjalan lancar dan mantap di mana kita mengharungi beberapa aksi persahabatan sebelum ini. Semua pemain begitu teruja untuk bertemu semula sahabat lama di atas padang dan semoga kita memenangi Piala Sultan Selangor sebagai hadiah Hari Kebangsaan.”

Sebagai rekod, edisi 2018 menyaksikan Selangor menyapu bersih semua kategori dipertandingkan – Piala Sultan Selangor, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

Pemain Veteran Selangor yang akan beraksi membabitkan legenda daripada pelbagai generasi antaranya Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Reduan Abdullah, Khalid Ali, Zainal Abidin Hassan, K Gunalan, V Murugan, Shahril Majid, Mubin Mokhtar, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri.

Manakala Veteran Singapura akan membariskan antaranya Ho Kwang Hock, Ishak Saad, Malek Awab, Fandi Ahmad, Kamarulzaman Zainal, Samad Allapitchay, E Manimohan dan Gusta Guzarisha.

Berita Harian X