Jumaat, 23 Ogos 2019 | 12:36pm
Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia dijadual berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, 5 September ini. - Foto fail
Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia dijadual berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, 5 September ini. - Foto fail

Aksi Malaysia-Indonesia dijamin selamat

KUALA LUMPUR: Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia yang sering kali ‘panas’ sekali lagi menimbulkan kerisauan apabila dua negara itu akan bertemu pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Dijadual berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, 5 September ini, isu keselamatan sekali lagi menjadi tumpuan apatah lagi pemain skuad negara tanpa mengira peringkat usia pernah melalui detik ‘menakutkan’ setiap kali beraksi di negara itu.

Antaranya, insiden pada final pertama Piala AFF 2010 yang menyaksikan pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium dan juga pulang ke hotel selain insiden sama berulang pada Sukan SEA 2011.

Malah, pada aksi Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) 2018 di Indonesia, pemain negara diserang penyokong tuan rumah yang membaling botol minuman dan batu selepas mereka tewas 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, insiden lalu jelas memberi pengajaran kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan Setiausaha Agungnya, Ratu Tisha Destria memberi jaminan keselamatan kepada pasukan negara yang akan mendapat sambutan baik untuk mengharungi perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu.

“Kami akan cuba sebaik mungkin supaya perlawanan berlangsung dengan baik, lancar aman dan tertib. Kami sedia memenuhi beberapa permintaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung pelaksanaan pertandingan yang bersesuai dengan peraturan ditetapkan,” kata Ratu Tisha menerusi laman rasmi PSSI.

“FAM juga meminta jaminan keselamatan buat pasukan kebangsaan Malaysia bermula daripada waktu ketibaan, sesi latihan, tempat tinggal dan waktu perlawanan. Sudah tentu PSSI akan memberi jaminan ini kepada Malaysia.”

Dalam perkembangan sama, Ratu Tisha mengesahkan sebanyak 3,000 tiket akan diperuntukkan buat penyokong Harimau Malaya yang berhasrat untuk bertandang ke stadium bagi menyaksikan perlawanan itu.

“Kami sudah menyiapkan 3,000 tiket untuk penyokong Malaysia dan mereka juga akan ada akses tertentu,” katanya.

Berita Harian X