Sabtu, 17 Ogos 2019 | 9:41pm
Hamidin (dua dari kanan) mengharapkan skuad negara dapat terus memperagakan aksi cemerlang bagi memastikan Malaysia kekal selaku 'Raja Asia Tenggara' bagi kategori B-18. - Ihsan FAM
Hamidin (dua dari kanan) mengharapkan skuad negara dapat terus memperagakan aksi cemerlang bagi memastikan Malaysia kekal selaku 'Raja Asia Tenggara' bagi kategori B-18. - Ihsan FAM

B-18 AFF: Jangan 'goyang' di final

KUALA LUMPUR: Skuad negara tidak seharusnya ‘goyang’ dengan pasukan mana pun yang bakal mereka hadapi pada aksi final Kejuaraan Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019, Isnin ini.

Justeru, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengharapkan skuad kendalian Brad Maloney itu dapat terus memperagakan aksi cemerlang bagi memastikan Malaysia kekal selaku 'Raja Asia Tenggara' bagi kategori B-18.

"Semoga semangat dan momentum ini dapat diteruskan pada aksi final, Isnin nanti kerana selaku juara bertahan, kita seharusnya tidak perlu gentar sama ada akan berdepan Australia atau pun Myanmar untuk mempertahankan kejuaraan malah penting buat pemain untuk kekal fokus," kata Hamidin menerusi kenyataan, hari ini.

Selepas mengesahkan tiket ke final dengan menewaskan Indonesia 4-3, Malaysia perlu menunggu pencabar mereka di pentas final sama ada Australia ataupun Myanmar yang beraksi lewat.

Malaysia mengesahkan tiket ke final selepas menewaskan Indonesia 4-3. - Ihsan FAM
Malaysia mengesahkan tiket ke final selepas menewaskan Indonesia 4-3. - Ihsan FAM

Mengulas mengenai kemenangan dramatik skuad negara itu, Hamidin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan muda negara yang berjaya menunjukkan kesungguhan untuk merebut tiket ke final.

"Satu persembahan yang cukup bertenaga dan dramatik telah ditampilkan. Kesungguhan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan kesemua pemain sepanjang permainan amat membanggakan. Pujian harus diberikan kepada pemain muda negara.

"Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga merangkap Exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam," katanya.

Berita Harian X