Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:14pm
NORHAFIZ Zamani Misbah

NS buru kemenangan pertama

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) belum menekan butang panik biarpun setakat ini belum meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia iaitu menentang Kedah dan PKNS FC, di tempat sendiri.

Kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah berkata, dia dan rakan sepasukan bertekad untuk bangkit memburu kemenangan pada pertembungan dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

"Kami tidak akan lemah semangat walaupun tewas dalam dua perlawanan awal kerana yakin peluang untuk bangkit mencatat kemenangan dan meneruskan saingan masih terbuka.

"Namun, saya akui, kami perlu menggandakan usaha bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan kerana sedar cabaran menentang TFC bukan mudah, tambahan pula TFC adalah pasukan pilihan, apatah lagi beraksi di gelanggang lawan.

"Segala kelemahan dalam perlawanan lalu telah cuba diatasi dan kami sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dalam usaha memburu kemenangan pertama," katanya, di sini, hari ini.

Bekas pemain kebangsaan berusia 38 tahun itu berharap rakan sepasukan dapat memberikan fokus dan komitmen lebih 100 peratus pada perlawanan itu nanti bagi mengimbangi kekuatan TFC.

Beliau juga akui skuad Hobin Jang Hobin perlu menangani masalah ketumpulan penyudah yang jelas dan ketara dalam perlawanan sebelum ini, biarpun berkeupayaan mencipta beberapa peluang jaringan di hadapan pintu gol lawan.

"Kami sedang memberikan tumpuan kepada masalah itu (penyudah) dan yakin ianya akan dapat diatasi pada perlawanan menentang TFC, Sabtu ini, yang akan membantu pasukan mendapatkan mata kemenangan," katanya.

Norhafiz Zamani juga akui pasukannya tidak boleh tewas pada perlawanan itu jika mahu terus bersaing dan mendapat tempat ke peringkat suku akhir saingan berprestij itu.

"Pasukan perlu menewaskan TFC dan mengutip mata bagi membuka semula perebutan ke suku akhir. Saya dan rakan sepasukan akan bermati-matian untuk merealisasikan sasaran itu," katanya.

Berita Harian X