Sabtu, 3 Ogos 2019 | 8:00am
LIONEL Messi
LIONEL Messi

Messi digantung 3 bulan, denda RM207,850

ASUNCION, Paraguay: Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi digantung daripada beraksi bersama pasukan negaranya selama tiga bulan dan denda AS$50,000 (RM207,850) oleh CONMEBOL selepas pemain itu mengkritik badan induk bola sepak Amerika Selatan berkenaan ketika saingan Copa Amerika.

Penyerang Barcelona berusia 32 tahun itu menuduh CONMEBOL terbabit dengan rasuah selepas dia dibuang padang ketika menentang Chile dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada kejohanan yang berlangsung di Brazil.

Messi melepaskan kemarahannya susulan dua insiden yang berlaku sepanjang kejohanan yang berlangsung bermula Jun hingga Julai itu/

Argentina dinafikan dua sepakan penalti ketika tewas 0-2 di tangan Brazil dalam aksi separuh akhir yang menyaksikan Messi selepas tamat perlawanan mendakwa ‘Brazil yang menguruskan CONMEBOL ketika ini’.

Menambahkan lagi kemarahannya apabila dia dibuang padang pada aksi seterusnya yang menyaksikan Argentina berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chile.

“Rasuah dan pengadil menghalang orang ramai menikmati perlawanan bola sepak dan mereka merosakkannya,” kata Messi.

Dia dilayangkan kad kuning ketika babak pertama perlawanan selepas bertengkar dengan kapten Chile, Gary Medel dengan rakaman video menunjukkan bintang Barcelona itu bersalah.

Kenyataan CONMEBOL di laman web rasmi badan induk itu tidak menyatakan secara khusus mengenai sebab Messi dijatuhkan hukuman tetapi berkata ia berkait dengan artikel 7.1 dan 7.2 merujuk kepada peraturan dan disiplin.

Hukuman itu menyaksikan Messi bakal terlepas beberapa aksi persahabatan dengan aksi kompetitif Argentina hanya bermula pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Amerika Selatan, Mac tahun depan. – AFP

 

Berita Harian X