Khamis, 1 Ogos 2019 | 6:21pm
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Aziah Azmee
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Aziah Azmee

'Jangan gentar Harimau Malaya'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengingatkan semua pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia bulan depan tidak memikirkan mengenai isu keselamatan di gelanggang lawan.

Mengakui isu keselamatan pegawai pasukan dan pemain penting, Cheng Hoe menjelaskan perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Malah, beliau juga dilihat enggan menjadikan faktor keselamatan di Jakarta nanti sebagai isu besar hingga perlu membawa kepada perlawanan itu dilangsungkan tanpa penonton atau di tukar ke gelanggang berkecuali.

"Apa yang penting saya hanya mahu pemain fokus kepada perlawanan. Kelayakan Piala Dunia ini di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan saya rasa PSSI tahu undang-undang dan peraturan FIFA.

"Jadi pemain tidak perlu khuatir mengenai isu keselamatan. Saya lalui pertama kali (terpaksa naik Barracuda pada Piala AFF 2010) dan untuk kali kedua saya rasa tiada apa yang kita perlu takut atau gementar," katanya.

Isu keselamatan kembali menjadi tumpuan selepas beberapa insiden yang ditimbulkan penyokong tuan rumah apabila skuad negara bertandang ke Indonesia.

Pada insiden ketika final Piala AFF 2010, skuad Harimau Malaya terpaksa menaiki kereta perisai (Barracuda) ke Stadium Bung Karno, begitu juga ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung penyokong tuan rumah pada final Piala AFF.

Pengalaman sama turut dirasai skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada Sukan SEA 2011 dan tahun lalu, pemain muda negara pula dibaling objek oleh peminat Indonesia yang didakwa tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka di separuh akhir Piala AFF B-19 di Jawa Timur.

Sebelum bertandang ke Indonesia, anak buah Cheng Hoe akan mengharungi aksi pemanas badan berdepan Jordan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.

Perkara itu jelas menggembirakan bekas pengendali Kedah itu yang sememangnya berhasrat menguji 'taring' dengan pasukan dari Timur Tengah sebagai persediaan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua kempen kelayakan.

Selain itu, Cheng Hoe turut menjelaskan barisan kejurulatihan akan terus memantau semua pemain sepanjang Piala Malaysia terutama kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, J Partiban (Perak) dan Brendan Gan (Perak) yang beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing ketika ini.

Berita Harian X