Sabtu, 20 Julai 2019 | 3:11pm
Skuad futsal kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong kini bersama Indonesia, Australia dan tuan rumah, Vietnam dalam Kumpulan B.
Skuad futsal kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong kini bersama Indonesia, Australia dan tuan rumah, Vietnam dalam Kumpulan B.

Skuad futsal negara berdepan ujian getir di Vietnam

KUALA LUMPUR: Skuad futsal lelaki kebangsaan menerima tamparan hebat dalam usaha menempah slot ke Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020.

Ia selepas skuad kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Yong itu dijangka berdepan tentangan sengit dalam saingan Kumpulan B Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 yang dijadual berlangsung di Vietnam, Oktober ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam entri Facebook hari ini mengesahkan undian semula pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF, Selasa lalu menyaksikan Malaysia yang juga naib juara edisi lalu diundi bersama juara 2010 Indonesia, Australia dan pasukan tuan rumah.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan juara 14 kali, Thailand tidak berdepan masalah mara ke pusingan separuh akhir apabila diundi bersama Myanmar, Timor-Leste dan Kemboja.

Kejohanan itu dijadikan sebagai pusingan Kelayakan Zon ASEAN bagi Kejuaraan Futsal AFC 2020 dengan empat pasukan terbaik layak beraksi secara automatik.

Sebagai rekod, pada edisi lalu Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 7-5 dalam saingan kumpulan sebelum mengatasi Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir.

Kedudukan ranking dunia terkini menyaksikan Vietnam berada di kedudukan ke-43 dunia, sementara Malaysia di ranking ke-54 dan Indonesia (ke-55). Australia tiada di dalam sistem ranking selepas tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan melebihi 24 bulan. - BERNAMA

Berita Harian X