Selasa, 16 Julai 2019 | 7:24am
Barcelona mengumumkan sudah menandatangani pemain sayap muda dari Jepun, Hiroki Abe.
Barcelona mengumumkan sudah menandatangani pemain sayap muda dari Jepun, Hiroki Abe.

Barcelona dapatkan bintang Jepun, Abe

BARCELONA: Barcelona mengumumkan sudah menandatangani pemain sayap muda dari Jepun, Hiroki Abe dari Kashima Antlers yang beraksi dalam Liga J.

Kelab itu berkata, mereka membayar 1.1 juta euro (RM5.08 juta) bagi mendapatkan pemain berusia 20 tahun berkenaan dan meletakkannya ke dalam pasukan simpanan.

Pemain itu akan beraksi dalam divisyen ketiga, Seguna B Sepanyol.

Barcelona berkata, Abe menandatangani kontrak selama empat tahun dengan klausa pembelian 40 juta euro (RM184 juta) yang akan meningkat kepada 100 juta euro (RM462 juta) jika dia ditawarkan beraksi buat pasukan utama.

“Dia dianggap sebagai janji besar bola sepak Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Barca menerusi laman sesawangnya.

Abe, yang membuat penampilan pertama di Copa Amerika bulan lalu mampu bermain di semua posisi hadapan, namun "banyak digunakan di sayap kiri," kata kelab berkenaan.

Dia adalah pemain muda terbaik Liga J pada 2018 ketika Kashima juga menjuarai gelaran Liga Juara Juara Asia pada musim sama.

Dia membuat 79 penampilan buat Kashima lebih tiga musim lalu dan menghasilkan 10 jaringan.

Barcelona mengikut jejak Real Madrid yang menandatangani Takefusa Kubo pada bulan lalu yang dilabelkan sebagai 'Messi Jepun'. AFP

Berita Harian X