Isnin, 8 Julai 2019 | 11:03am
Jurulatih Brazil, Tite. - Foto AFP
Jurulatih Brazil, Tite. - Foto AFP
Lionel Messi mendakwa Copa America sudah ‘diatur’ untuk membolehkan Brazil menjuarainya. - Foto Reuters
Lionel Messi mendakwa Copa America sudah ‘diatur’ untuk membolehkan Brazil menjuarainya. - Foto Reuters

Messi perlu tunjuk rasa hormat - Tite

RIO DE JANEIRO: Jurulatih Brazil, Tite mahu Lionel Messi menunjukkan rasa hormatnya susulan tuduhannya yang mendakwa Copa America sudah ‘diatur’ untuk membolehkan Brazil menjuarainya.

Brazil menjulang trofi Copa sekali lagi selepas menewaskan Peru 3-1 dalam aksi final di Stadium Maracana pagi ini, namun Tite merasakan pasukannya juga tidak terlepas halangan sukar menerusi beberapa keputusan pengadil yang tidak memihak anak buahnya dan menganggap tuduhan Messi itu mencemar imej pegawai kejohanan itu.

"Dia wajar menunjukkan rasa hormat, dia mesti memahami dan dapat menerima kekalahan,” kata Tite, yang menewaskan Argentina 2-0 dalam separuh akhir yang agak kontroversi.

"Kami juga terjejas dalam banyak perlawanan, bahkan di Piala Dunia juga, jadi berhati-hatilah ketika bercakap.

"Dia sebenarnya meletakkan tekanan besar kerana dia adalah pemain ternama.

"Semua pemain ada masalah masing-masing dan kamu mesti menunjukkan rasa hormat.”

Messi sebelum ini membidas Peresukutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), dengan tuduhan ‘rasuah’ selepas dia dilayangkan kad merah ketika aksi tempat ketiga menentang Chile yang berkesudahan Argentina menang 3-1 Sabtu lalu.

Sebelum itu, Messi ada juga membidas badan induk itu sejurus kekalahan Argentina di separuh akhir dengan mengaitkan ada unsur “campur tangan tuan rumah ke atas pengurusan CONMEBOL kebelakangan ini."

Argentina berang kerana pengadil tidak menggunakan VAR dalam dua situasi yang sepatutnya menghasilkan penalti.

Dalam perlawanan menentang Chile, Messi pula dibuang padang serentak dengan pertahanan Chile, Gary Medel yang kelihatan tidak melakukan kesalahan besar yang membolehkan mereka diperintah meninggalkan padang.

Messi kemudian mengakui keceluparannya sebelum itu membawa padah ke atasnya.

"Perkataan saya makan diri, tapi kamu mesti berani berterus terang,” katanya.

Tite bagaimanapun setuju dengan kenyataan Messi itu sambil mengakui bahawa penalti pagi tadi tidak wajar diberikan.

"Ia sepatutnya bukan penalti. Kamu perlu berhati-hati dan tunjukkan rasa hormat, seperti mana kami menghormati orang lain,” kata Tite.

Sementara itu, jurulatih Peru Ricardo Gareca, yang berasal dari Argentina, turut setuju dengan Tite.

"Suara Messi adalah kenyataan rasmi tetapi itu tidak bermakna saya setuju dengan apa yang dia perkatakan,” kata Gareca.

Begitupun pemain tengah Brazil, Casemiro enggan campur tangan dengan kontroversi dicetuskan Messi.

"Mereka boleh cakap apa saja yang mereka mahu, kami hanya bercakap mengenai Brazil," kata pemain Real Madrid itu.

Ketika pemain Brazil meraihkan kejayaan dengan menjulang trofi itu bersama Presiden Brazil, Jair Bolsonaro - seorang pemimpin yang masih terpalit dengan tuduhan mengamalkan dasar perkauman, merendahkan kaum wanita dan membenci golongan homoseksual.

Tite bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan media mengapa pasukannya meraikan kejayaan itu bersama Bolsonaro.

"Saya sudah lama dalam bola sepak, saya tahu banyak perkara mengenainya, tapi dengan apa yang sudah saya lakukan hingga ke tahap ini ia adalah fokus utama saya,” katanya. - AFP

Berita Harian X