Isnin, 8 Julai 2019 | 9:53am
Penyerang Algeria, Riyad Mahrez mengawal bola dari pemain Guinea pada perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, di Ciro. - Foto AFP
Penyerang Algeria, Riyad Mahrez mengawal bola dari pemain Guinea pada perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, di Ciro. - Foto AFP

Mahrez bantu Algeria ke suku akhir

KAHERAH: Sayap Manchester City, Riyad Mahrez membantu Algeria mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika selepas mengatasi Guinea 3-0 awal pagi tadi.

Youcef Belaili meledak gol pembukaan minit ke-24 disusuli gol kedua daripada Mahrez pada minit ke-57 manakala pemain gantian, Adam Ounas menjaringkan gol ketiga ketika aksi berbaki lapan minit.

"Kami bersaing dalam perlawanan yang sukar menentang Guinea yang bermain dengan baik. Kami tidak bolos dan menyumbat tiga gol,” kata Mahrez.

"Ia keputusan yang bagus buat kami dan sangat gembira dapat mengatasi pasukan lawan yang sukar dijinakkan.”

Dengan ketiadaan Mesir dan Maghribi, banyak pihak kini meramalkan Algeria akan muncul juara kali ini selepas kali terakhir menjulangnya pada 1990.

Algeria juga pasukan tunggal mengekalkan rekod bersih mara ke suku akhir selepas mengatasi cabaran Kenya, Senegal dan Tanzania di peringkat Kumpulan.

Algeria kini bakal berdepan Ivory Coast atau Mali di suku akhir Khamis ini dan jika menang bakal berdepan sama ada Nigeria atau Afrika Selatan di separuh akhir.

Jurulatihnya, Djamel Belmadi merombak sembilan pemain yang menewaskan Tanzania tetapi mengekalkan Mahrez.

Guinea, dalam pada itu, tidak dapat menurunkan pemain tengah Liverpool, Naby Keita selepas kecederaan pangkal pahanya belum sembuh ketika menentang Barcelona Mei lalu.

Saingan berlangsung rancak dengan pengadil sibuk mengawal aksi keras pemain dengan kad kuning pertama dilayangkan kepada pemain Guinea, Mady Camara disusuli pemain Algeria, Adlene Guedioura seawal minit ke-14.

PEMAIN Guinea, Mohamed Yattara (kiri) cuba dihalang pemain Algeria, Adlane Guedioura pada aksi perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Guinea, Mohamed Yattara (kiri) cuba dihalang pemain Algeria, Adlane Guedioura pada aksi perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto EPA

Camara kemudian mengasari Mahrez, namun sepakan percuma Guedioura yang diberikan tersasar.

Guedioura kemudian dilayangkan kad kuning selepas ‘kesalahan’ ke atas Jose Martinez Kante namun ulang tayang di skrin besar mendapati ia sebenarnya dilakukan Aissa Mandi.

Baghdad Bounedjah terlepas peluang terbaik buat Algeria mendahului pada minit ke-20 apabila rembatannya liar ke sasaran selepas menerima umpanan Guedioura.

Kante muncul pemain Guinea kedua dilayangkan kad kuning selepas mengasari Djamel Benlamri sebelum dia digantikan Fode Koita.

Sejurus kemasukkan Koita, Mahrez merembat gawang lawan selepas mengutip hantaran lintang Ismael Bennacer lantas melepasi kawalan Issiaga Syll dan menewaskan penjaga gol.

Ounas kemudian menyumbat gol ketiga pada minit ke-87 sekali gus menyertai tiga rakannya muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini. – AFP 

Berita Harian X