Ahad, 7 Julai 2019 | 8:25am
PEMAIN Afrika Selatan, Thembinkosi Lorch meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukan di Stadium Antarabangsa Cairo. - Foto AFP
PEMAIN Afrika Selatan, Thembinkosi Lorch meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukan di Stadium Antarabangsa Cairo. - Foto AFP

Afrika Selatan singkir Mesir

KAHERAH: Gol Thembinkosi Lorch pada minit ke-85 menghadiahkan kemenangan mengejut 1-0 Afrika Selatan terhadap tuan rumah Mesir pada aksi peringkat 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi.

Selepas mengharungi tiga aksi longlai di peringkat kumpulan, Afrika Selatan tampak seperti akan menjadi mangsa mudah buat juara tujuh kali, Mesir yang turut menyenaraikan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Begitupun, berpunca daripada serangan balas pantas, Lebo Mothiba melakukan hantaran bijak terhadap Lorch yang kemudian melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Mohamed Elshenawy.

Prestasi Afrika Selatan jelas berbeza berbanding pasukan yang bergelut pada aksi peringkat kumpulan dengan lawan mereka berikutnya di suku akhir ialah Nigeria, yang menyingkirkan penyandang juara Cameroon di Alexandria pada perlawanan lebih awal.

Salah, yang terlepas beberapa sesi latihan pada pertengahan minggu ini susulan selsema jelas berjaya dikekang pertahanan Afrika Selatan yang tampak berdisiplin.

Pada perlawanan itu, Mesir melakukan tiga pertukaran dalam skuad yang menewaskan Uganda untuk melengkapkan saingan Kumpulan A dengan 100 peratus kemenangan, meledak lima gol dan tidak melepaskan sebarang jaringan.

Jurulatih Mesir, Javier Aguirre membawa masuk pertahanan Mahmoud Alaa, pemain tengah Tarek Hamed dan penyerang Marwan Mohsen dengan Baher Elmohamady, Nabil Donga dan Ahmed Hassan diletakkan di bangku simpanan.

Jurulatih Afrika Selatan, Stuart Baxter pula melakukan dua pertukaran dalam pasukannya di bahagian tengah yang mara ke pusingan kalah mati sebagai salah satu daripada pasukan di kedudukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Sekali pun menguasai sebahagian besar permainan dan deretan cubaan, Mesir terus gagal untuk merobek gawang Afrika Selatan sebelum Lorch yang juga pemain terbaik negaranya melakukan gerakan pemusnah. - AFP

Berita Harian X