Sabtu, 6 Julai 2019 | 10:51pm
ANTARA gambar yang dirakam dari klip video pergaduhan membabitkan JBFA menentang Kelantan United di Stadium Mini Kulai, petang tadi.
ANTARA gambar yang dirakam dari klip video pergaduhan membabitkan JBFA menentang Kelantan United di Stadium Mini Kulai, petang tadi.

Liga M3 pun nak gaduh

KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan mencemari aksi Liga M3 membabitkan JBFA menentang Kelantan United di Stadium Mini Kulai, petang tadi.

Klip video pergaduhan terbabit menjadi tular di laman sosial apabila insiden dikatakan tercetus susulan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit akhir kepada Kelantan United.

Menerusi video yang tular, seorang pemain dipercayai pemain JBFA menyerbu ke arah pengadil perlawanan selepas perlawanan berakhir sebelum dileraikan pasukan keselamatan yang bertugas di perkarangan stadium.

Bagaimanapun, kekecohan terus tercetus apabila pengadil terbabit terus 'dihambat' sehingga ke atas trek.

Berdasarkan semakan menerusi siaran secara langsung perlawanan itu, pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan pemain JBFA di dalam kotak penalti.

Sepakan penalti terbabit disudahkan Gassama Alfusainey untuk mengikat kedudukan 3-3 sekali gus membolehkan Kelantan United bangkit selepas ketinggalan 3-1 meskipun mendahului pada babak pertama.

Terdahulu, Kelantan United mendahului seawal minit ke-22 menerusi jaringan Khairul Ramadhan namun JBFA memperagakan aksi kemas pada babak kedua untuk mendahului 3-1 sumbangan daripada Jose Alex (m-49), Riduan Ma'on (m-53) dan Fathur Danish (m-68).

Bagaimanapun, pelawat mengurangkan defisit apabila Gassama meledak gol kedua pada minit ke-87 sebelum dia menyudahkan penalti pada minit keempat masa kecederaan separuh masa kedua.

Berita Harian X