Sabtu, 6 Julai 2019 | 7:45am
PEMAIN Argentina mempertikai keputusan pengadil dari Ecuador, Roddy Zambrano ketika aksi menentang Brazil di Stadium Mineirao. - Foto AFP
PEMAIN Argentina mempertikai keputusan pengadil dari Ecuador, Roddy Zambrano ketika aksi menentang Brazil di Stadium Mineirao. - Foto AFP

AFA minta penjelasan dakwaan 'campur tangan' VAR

BUENOS AIRES: Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) menuntut jawapan daripada syarikat yang membekalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) di Copa America supaya menjelaskan mengenai wujud campur tangan pasukan keselamatan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro terhadap aksi separuh akhir, Rabu lalu.

Argentina tewas 0-2 kepada Brazil pada perlawanan yang turut disaksikan Bolsonaro di Stadium Mineirao di Belo Horizonte dengan pasukan itu dinafikan dua sepakan penalti ketika rakaman perlawanan mengesyorkan ia patut diberikan.

Menambah bengang Argentina ialah pengadil dari Ecuador, Roddy Zambrano enggan menggunakan teknologi VAR untuk menilai semula situasi berkenaan.

“Kami amat bimbang apabila media Brazil dan berita di laman web membincangkan mengenai wujud masalah dan campur tangan dalam sistem komunikasi di antara VOR (Bilik Operasi Video) dan pegawai di atas padang,” kata AFA dalam laman webnya.

Ia adalah aduan kedua yang dibuat oleh AFA membabitkan perlawanan separuh akhir berkenaan kepada badan induk bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL selepas mendakwa wujud “kesilapan pengadilan yang serius dan menjijikkan”, sebelum ini.

Menurut kenyataan berkenaan, yang ditandatangani oleh Pengarah Pengadilan AFA, Federico Beligoy, campur tangan berkenaan dicetuskan oleh pasukan keselamatan Bolsonaro.

Rabu lalu, laman web Globoesporte.com melaporkan timbul masalah membabitkan VAR sebelum perlawanan separuh akhir berlangsung apabila mendakwa ‘frekuensi radio digunakan oleh” pasukan keselamatan Bolsonaro mengganggu saluran komunikasi pengadil dengan pasukan VAR.

Beligoy mendakwa dua insiden berkenaan mencetus kemarahan besar rakyat Argentina dengan ulangan rakaman video mendapati kapten Brazil, Dani Alves mengasari penyerang, Sergio Aguero dan pemain tengah, Arthur turut mengasari pertahanan Nicolas Otamendi kedua-dua di kawasan penalti.

Kedua-dua insiden berkenaan tidak dapat dilihat oleh Zambrano atau pasukan VAR. - AFP

Berita Harian X