Khamis, 4 Julai 2019 | 11:20am
PEMAIN Peru meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan penyandang juara Chile 3-0, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Peru meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan penyandang juara Chile 3-0, sebentar tadi. - Foto AFP

Peru kejutkan Chile

PORTO ALEGRE, Brazil: Peru melangkah ke final Copa America untuk bertemu tuan rumah, Brazil selepas menewaskan penyandang juara Chile 3-0, sebentar tadi.

Peru yang tidak diletakkan sebagai calon pilihan juara merobek gawang Chile pada minit ke-20 menerusi rembatan voley Edison Flores berpunca sepakan sudut.

Yoshimar Yotun menggandakan kedudukan buat Peru, 17 minit berselang selepas memanfaatkan sepenuhnya kesilapan penjaga gol Chile, Gabriel Arias, sebelum kapten pasukan Paolo Guerrero menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak kedua.

EDISON Flores bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Chile. - Foto AFP
EDISON Flores bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Chile. - Foto AFP

Penjaga gol Peru, Pedro Gallese boleh dianggap wira selepas melakukan beberapa aksi menyelamat menakjubkan bagi menafikan deretan serangan Chile yang diketuai Alexis Sanchez.

Ia termasuk menyelamatkan sepakan penalti Eduardo Vargas sebelum wisel penamat ditiupkan.

Peru yang kali terakhir memenangi Copa America pada 1975 akan bertemu Brazil pada aksi final di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, awal pagi Isnin ini. - REUTERS

Berita Harian X