Khamis, 4 Julai 2019 | 7:42am
CLAUDIO Tapia. - Foto AFP
CLAUDIO Tapia. - Foto AFP

AFA buat aduan kualiti pengadil

BUENOS AIRES: Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), semalam mengemukakan aduan terhadap badan induk CONMEBOL berhubung dakwaan ‘kesilapan pengadilan serius dan memalukan’ susulan kekalahan skuad kebangsaannya di separuh akhir Copa America kepada Brazil, semalam.

Skuad yang diketuai bintang, Lionel Messi itu tewas 0-2 kepada pasukan tuan rumah yang menyebabkan penantian mereka untuk menjulang gelaran utama sejak 1993 terus tertangguh.

Presiden AFA, Claudio Tapia turut mengkritik Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang menyaksikan perlawanan di Belo Horizonte dengan mendakwa kehadirannya sebagai ‘demonstrasi politik yang jelas’.

Tapia menghantar surat enam muka kepada Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) sebagai sokongannya terhadap skuad kebangsaan Argentina selepas Messi meluahkan kemarahannya terhadap badan induk itu serta pengadil dari Ecuador, Roddy Zambrano.

Messi mendakwa Zambrano “tanpa sebarang alasan tidak menggunakan VAR (Video Bantuan Pengadil) dalam sekurang-kurangnya dua gerakan tertentu yang jelas mempengaruhi keputusan perlawanan”.

Tapia menambah AFA sebelum ini sudah mempersoalkan pelantikan pengadil perlawanan kerana “latar belakang negatif Zambrano”.

AFA turut mengkritik Persekutuan Bolasepak Brazil kerana “melanggar peraturan organisasi” yang mengakibatkan “kelewatan tidak wajar terhadap pengangkutan peralatan ke stadium” tetapi tidak membabitkan tuan rumah. - AFP

Berita Harian X