Sabtu, 29 Jun 2019 | 8:06am
Pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri bersaing dengan pemain Ivory Coast, Serge Aurier pada perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri bersaing dengan pemain Ivory Coast, Serge Aurier pada perlawanan Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Maghribi layak ke kalah mati

KAHERAH: Pengendali Maghribi Herve Renard mengemudi satu lagi kemenangan ke atas bekas pasukannya Ivory Coast untuk membawa pasukan Afrika Utara itu ke pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika di Mesir.

Jaringan tunggal permainan Youssef En-Nesyri di babak pertama mencetus kemenangan 1-0 dan yang ketiga berturut-turut buat Renard dan Maghribi ke atas Ivory Coast yang pernah dibimbingnya menjuarai kejohanan itu pada tahun 2015.

Selepas menamatkan saingan Ivory Coast pada edisi 2017 dan layak ke Piala Dunia tahun lalu, Maghribi sekali lagi mengatasi seterunya itu dalam aksi dua pasukan teratas Kumpulan D.

Maghribi memerlukan satu mata pada perlawanan terakhir menentang Afrika Selatan untuk memastikan kedudukan sebagai juara kumpulan, walaupun Ivory Coast masih berpeluang menyertai mereka di pusingan kalah mati dengan Namibia menanti pada aksi terakhir kumpulan.

“Matlamat utama kami adalah mara lebih jauh berbanding apa kami lakukan pada tahun 2017,” kata Renard, yang menyaksikan Maghribi kendaliannya tewas kepada Mesir di suku akhir dua tahun lalu.

“Kami lebih kuat sekarang tetapi kami perlu mengekalkan mentaliti yang sama. Jika kami mencapai sasaran, kami akan melihat apa yang kami mampu lakukan. Perjalanan masih jauh dan ia akan menjadi sukar buat semua pasukan.”

Jonathan Kodjia meledak gol dalam kemenangan 1-0 Ivory Coast ke atas Afrika Selatan dan penyerang Aston Villa itu nyaris membuka jaringan pada minit pertama, namun percubaannya ditanduk keluar Romain Saiss.

Penyerang Leganes Ne-Nesyri meletakkan Maghribi di depan pada minit ke-23 selepas Nordin Amrabat menggelecek tiga pertahanan Ivory Coast sebelum melorong bola kepada En-Nesyri. – AFP

Penyerang Ivory Coast, Jonathan Kodjia (3 dari kiri) menanduk bola ke dalam gawang Maghribi pada aksi Kumpulan D Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Ivory Coast, Jonathan Kodjia (3 dari kiri) menanduk bola ke dalam gawang Maghribi pada aksi Kumpulan D Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X