Khamis, 27 Jun 2019 | 10:10pm
Pemain skuad B-18 kebangsaan, Ali Imran Sukari (kiri) dan Harith Haiqal Adam Afkar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pemain skuad B-18 kebangsaan, Ali Imran Sukari (kiri) dan Harith Haiqal Adam Afkar. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ali, Harith tekad rebut tempat dalam skuad B-18 negara

 

KUALA LUMPUR: Dua bekas pemain bawah 16 tahun (B-16), Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar nekad merebut tempat dalam pasukan B-18 negara yang akan bersaing di Kejuaraan AFF B-18 di Vietnam 5 hingga 18 Ogos ini.

Kedua-duanya yang turut beraksi di Kejuaraan B-16 AFC 2018, Oktober tahun lalu tidak akan berasa gentar bersaing dengan pemain lebih berusia daripada mereka.

"Saya tidak berani mengatakan peluang saya (terpilih) cerah tetapi saya akan tampilkan aksi terbaik dalam saingan Piala Presiden. Saya mahu perbaiki prestasi untuk cuba memikat jurulatih menyenaraikan saya dalam pasukan," kata Harith Haiqal.

Harith dan Ali baharu saja pulang ke tanah air selepas terpilih menyertai program ASIAN ELEVEN di Fukushima, Jepun, baru-baru ini.

Skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 negara kini beraksi dalam saingan Piala Presiden dan ia pentas terbaik untuk dua pemain berkenaan membuktikan kemampuan masing-masing.

Pada Kejuaraan AFF B-18 nanti, skuad negara bakal tampil selaku juara bertahan dan edisi kali ini menyaksikan Malaysia berada dalam 'kumpulan maut', Kumpulan B bersama Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Australia.

"Kumpulan yang sukar. Memang diakui Australia adalah pencabar terkuat dalam kumpulan ini tetapi sebagai pemain (kalau terpilih) kami tidak boleh takut dan cuba berikan saingan kepada negara lain," kata Ali Imran.

Berita Harian X