Selasa, 25 Jun 2019 | 10:38am
Pemain Jepun, Shoya Nakajima melepasi halangan pemain Ecuador lalu merembat bola pada aksi perlawanan Copa Amerika, di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, Brazil sebentar tadi. - Foto
Pemain Jepun, Shoya Nakajima melepasi halangan pemain Ecuador lalu merembat bola pada aksi perlawanan Copa Amerika, di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, Brazil sebentar tadi. - Foto

Ecuador-Jepun seri, Paraguay layak

BELO HORIZONTE, Brazil: Jepun dan Ecuador tersingkir daripada saingan Copa Amerika selepas keputusan seri 1-1 melayakkan Paraguay mara ke suku akhir sebagai salah satu daripada dua pasukan tempat ketiga terbaik.

Kemenangan menjanjikan tempat dalam kelompok lapan terakhir dan Jepun berada di depan pada minit ke-15 hasil rembatan Shoya Nakajima dari jarak 25 meter.

Ecuador menyamakan kedudukan 20 minit kemudian menerusi Angel Mena dan pasukan Amerika Selatan itu mula menguasai permainan di babak kedua menerusi hantaran-hantaran jauh yang menyukarkan benteng Jepun.

Kedua-dua pasukan berpeluang menambah jaringan dalam aksi di stadium Mineirao yang mencatat kehadiran penonton paling rendah setakat ini – seramai 9,279 orang.

Pemain Ecuador, Angel Mena (kiri) cuba melepasi halangan pemain Jepun, Daiki Sugioka pada aksi perlawanan Kumpulan C Copa Amerika, sebentar tadi. - Foto EPA
Pemain Ecuador, Angel Mena (kiri) cuba melepasi halangan pemain Jepun, Daiki Sugioka pada aksi perlawanan Kumpulan C Copa Amerika, sebentar tadi. - Foto EPA

Pemain gantian Ayrton Preciado hampir membawa Ecuador ke suku akhir, namun percubaannya dalam masa kecederaan tersasar. Sebelum itu Jepun menyaksikan jaringan mereka dibatalkan kerana ofsaid.

Juara Kumpulan C Uruguay, yang menewaskan juara bertahan Chile 1-0, akan berdepan Peru pada Sabtu (awal pagi Ahad), manakala Chile akan bertemu juara Kumpulan B Colombia, satu-satunya pasukan yang menang kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Tuan rumah Brazil akan menentang Paraguay pada Khamis (awal pagi Jumaat), dan Venezuela bertemu Argentina di Stadium Maracana, Rio pada Jumaat (awal pagi Sabtu). – REUTERS

 

Berita Harian X