Sabtu, 22 Jun 2019 | 12:46am
Penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney (kiri) ketika mengendalikan sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Wisma FAM. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Siapa ganti Maloney?

KUALA LUMPUR: Selepas nama pembantu jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Brad Maloney dicanang sebagai jurulatih baharu skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), timbul persoalan mengenai siapa individu yang bakal menggantikan tempatnya dalam skuad B-23.

Sekiranya dia sah dilantik bagi menggantikan tempat Bojan Hodak, situasi ini menyaksikan pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee kehilangan 'orang kanannya' yang sebelum ini cemerlang membantunya memenangi pingat perak Sukan SEA 2017 dan layak suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), tahun lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan jika Maloney dipilih sebagai jurulatih skuad B-19, pengendali dari Australia itu perlu bersedia untuk memegang dua jawatan sekali gus memandangkan FAM mahu menggunakan sumber kejurulatihannya dengan lebih efektif.

"Antara perbincangan dalaman yang dijalankan adalah membabitkan penyusunan semula struktur kejurulatihan kita di mana sekiranya Brad dilantik sebagai jurulatih skuad B-19, mungkin tiada pengganti kerana dia boleh terus kekal membantu Kim Swee bagi skuad B-23.

"Kita mahukan sistem kejurulatihan kita bermula daripada pasukan senior hinggalah pasukan bawah umur mempunyai hubungan dan paling ketara, kami mahukan corak permainan yang diperagakan di setiap peringkat sentiasa sama. 

"Skuad bawah umur ini pun tidak mengharungi banyak pertandingan dalam setahun dan pertandingan mereka juga tidak bertembung. Jadi FAM perlu bijak dalam menggunakan sumber yang ada dengan cermat," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Stuart mendedahkan badan induk itu bukan setakat menyenarai pendek Maloney sebaliknya beberapa jurulatih lain turut berada dalam pertimbangan bagi menggantikan tempat Hodak.

"Nama Brad sememangnya dalam senarai pendek bersama tiga lagi jurulatih tempatan tetapi kita perlu melalui beberapa proses untuk melakukan pemilihan. Kita perlu memastikan transisi daripada Hodak kepada jurulatih baharu berjalan dengan lancar dan sempurna untuk semua pihak.

"Ini semua mengambil sedikit masa kerana jawatankuasa teknikal yang melakukan perbincangan dan pemilihan. Berkemungkinan pada hari Selasa minggu hadapan, saya boleh memberitahu sedikit sebanyak perkembangan mengenai perkara ini," katanya.

Berita Harian X