Isnin, 17 Jun 2019 | 7:23am
Pemain Mesir, Marwan Mohsen (tengah) dikepung 3 pemain Guinea pada perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Mesir, Marwan Mohsen (tengah) dikepung 3 pemain Guinea pada perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Mesir senarai Salah, Maghribi tumbang

JOHANNESBURG: Sensasi Mesir, Mohamed Salah dimasukkan selaku pemain gantian ketika tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2019 itu menewaskan Guinea 3-1 pada aksi pemanas badan, awal pagi tadi.

Marwan Mohsen meletakkan Mesir di depan pada aksi di Alexandria itu tetapi ia disamakan oleh Sory Kaba pada pertengahan babak kedua.

Pemain yang kembali disenarai bersama skuad kebangsaan, Ahmed Ali kembali meletakkan Mesir mendahului sebelum Omar Gaber meledak gol lewat bagi mengesahkan kemenangan Mesir.

Ia adalah kemenangan kedua pada aksi pemanas badan buat Mesir, yang sebelum ini menewaskan Tanzania 1-0 tiga hari lalu di gelanggang sama.

Mesir diundi dalam Kumpulan A bersama Republik Demokratik Congo, Uganda dan Zimbabwe bagi kejohanan yang dijadual berlangsung pada 21 Jun hingga 19 Julai dan memburu gelaran kelapan Afrika.

Ketika Mesir meneruskan rentak kemenangan, satu lagi pencabar kejuaraan Maghribi dipalit kekalahan kedua berturut-turut di gelanggang sendiri 2-3 kepada Zambia.

Pemain Mesir, Omar Gaber dihalang pemain Guinea, Jose Kante pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Mesir, Omar Gaber dihalang pemain Guinea, Jose Kante pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Bintang Ajax Amsterdam, Hakim Ziyech meledak gol penyamaan sebanyak dua kali buat Maghribi yang dianggap pencabar utama Mesir tetapi dikecewakan dengan jaringan kemenangan Enock Mwepu pada minit ke-75.

Maghribi, yang tewas kepada Gambia, minggu lalu dibimbing pengendali dari Perancis, Herve Renard yang juga satu-satunya jurulatih yang berjaya memenangi Piala Negara-Negara Afrika bersama negara berbeza, Zambia pada 2012 dan Ivory Coast tiga tahun kemudian. 

Sementara itu, bintang Everton Idrissa Gueye meledak gol tunggal pada babak pertama bagi membantu Senegal menewaskan juara tiga kali, Nigeria 1-0 manakala Algeria menang 3-2 terhadap Mali di Doha. - AFP

Berita Harian X