Sabtu, 15 Jun 2019 | 8:41pm
SUBAHAN Kamal

Persiapan Sukan SEA selepas tamat liga

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang merangka beberapa persiapan untuk skuad bawah 23 (B-23) tahun bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, ketika ini pihaknya dalam proses perbincangan lanjut khususnya dengan jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan persiapan untuk ke temasya dwitahunan itu mungkin akan bermula September ini bagi memberi ruang kepada pemain menumpukan aksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Memang saya ada berbincang dengan Kim Swee (mengenai persiapan skuad B-23). Mungkin selepas liga dan kita sekarang ada tujuh atau enam perlawanan lagi dalam Liga M," kata Subahan yang juga pengurus skuad B-23.

"Insya-Allah selepas itu, mungkin pada September akan ada beberapa siri program akan diadakan. Pihak pengurusan B-23 yang diterajui saya dan Kim Swee akan maklumkan apa perancangan kita untuk persiapan Sukan SEA."

Kim Swee dilihat tidak berdepan masalah besar untuk mengumpul barisan terbaik selepas beberapa pemain dari skuad senior Harimau Malaya seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan Syamer Kutty Abba masih boleh beraksi bersama skuad B-23.

Selain itu, Subahan turut yakin pengalaman diperoleh beberapa pemain muda itu bersama Harimau Malaya akan menjadi antara kekuatan utama skuad Kim Swee di Sukan SEA nanti.

"Memang kita nampak ramai pemain muda (dari skuad Harimau Malaya) yang masih boleh wakili skuad B-23, jadi ini menunjukkan satu perkembangan yang cukup positif," katanya.

Berita Harian X