Khamis, 9 Mei 2019 | 10:12pm
Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, Kemboja (tuan rumah), Brunei dan Kepulauan Mariana Utara. - Foto BERNAMA
Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, Kemboja (tuan rumah), Brunei dan Kepulauan Mariana Utara. - Foto BERNAMA

Malaysia diundi dalam 'kumpulan maut' B-19 AFC

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan laluan sukar mara ke pusingan akhir selepas diundi dalam ‘kumpulan maut’ pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Kemboja, November ini.

Berdasarkan undian diadakan di AFC House di Bukit Jalil di sini hari ini, skuad negara bimbingan Bojan Hodak diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, Kemboja (tuan rumah), Brunei dan Kepulauan Mariana Utara.

Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.

Pusingan kelayakan akan berlangsung dari 2 hingga 10 November ini di negara tuan rumah yang dipilih.

Bojan menyifatkan undian itu sukar dengan ujian sebenar adalah berdepan dengan Thailand dan Kemboja.

“Pertemuan sukar adalah dengan Thailand dan tidak menolak kemungkinan Kemboja juga. Selain menggunakan padang tiruan, Kemboja juga telah menunjukkan peningkatan selepas bermain sebagai satu pasukan dalam liga negara itu, “ kata jurulatih kelahiran Croatia berusia 47 tahun itu kepada pemberita selepas undian itu.

“Walaupun tidak seteruk menentang pasukan lain, sekurang-kurangnya semua pasukan dalam kumpulan adalah dari Asia Tenggara. Adalah baik kerana kami dapat bertemu beberapa pasukan itu pada Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019, Ogos ini, “ katanya.

Bagaimanapun, katanya, undian itu tidak mematahkan semangat beliau untuk merancang persediaan yang terbaik bagi mencapai keputusan terbaik pada peringkat kumpulan serta melangkah ke pusingan akhir dengan bergaya.

“Kami yakin boleh mengatasi mana-mana pasukan apabila berada pada tahap yang baik pada waktu yang diperlukan. Kini hanya perlu persediaan yang baik dan menggunakan Piala AFF sebagai persediaan terakhir,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia mara ke pusingan akhir kejohanan itu tahun lalu di Indonesia tetapi tersingkir di peringkat kumpulan.

Sementara itu, skuad B-16 negara diundi dalam Kumpulan J bersama juara bertahan, Jepun, Kemboja dan Laos bagi pusingan kelayakan AFC 2020 B-16, juga pada November ini.

KEPUTUSAN UNDIAN:

Kumpulan A: Iraq [TR], Oman, Palestin, Kuwait, Pakistan

Kumpulan B: Qatar [TR], Yemen, Turkmenistan, Sri Lanka

Kumpulan C: Tajikstan [TR], Syria, Lubnan, Maldives

Kumpulan D: United Emiriah Bersatu (UAE), Iran [TR], Republik Kyrgyz, Nepal

Kumpulan E: Jordan, Bahrain [TR] , Bangladesh, Bhutan

Kumpulan F: Arab Saudi [ TR], Uzbekistan, India, Afghanistan

Kumpulan G: Thailand, MALAYSIA, Kemboja [TR], Brunei, Kepulauan Mariana Utara

Kumpulan H: Australia, Taiwan [TR], Macau, Laos

Kumpulan I: Korea Selatan, China, Myanmar [TR], Singapura

Kumpulan J: Jepun, Vietnam [TR], Mongolia, Guam

Kumpulan K: Indonesia [TR], Korea Utara, Hong Kong, Timor-Leste

Nota: Tanda dalam kurungan [ ] sebagai tuan rumah (TR)

- BERNAMA

Berita Harian X