Khamis, 9 Mei 2019 | 8:51am
ERIK ten Hag. - Foto Reuters
ERIK ten Hag. - Foto Reuters

Ten Hag tetap bangga

AMSTERDAM: Jurulatih Ajax, Erik ten Hag meluahkan rasa bangga terhadap skuad kendaliannya selepas perjalanan ‘magis’ mereka di Liga Juara-Juara dihentikan dengan cara cukup kejam oleh Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Ajax yang sebelum ini menyingkirkan penyandang juara, Real Madrid dan gergasi Itali, Juventus meraih kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di London, minggu lalu tetapi tewas 3-2 di gelanggang sendiri dan tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan.

“Saya amat bangga dengan pasukan ini kerana sudah pun melangkah sejauh ini. Kami sudah pun mengharungi perjalanan yang mengagumkan,” kata Ten Hag.

Penyerang Brazil, Lucas Moura melengkapkan hatriknya pada minit ke-96 untuk menyempurnakan kebangkitan Spurs pada babak kedua dan mara ke final bertemu Liverpool di Madrid.

“Kami cuba untuk menamatkan permainan dan kami tidak berupaya melakukannya,” kata Ten Hag selepas pasukannya pada satu ketika turut memiliki kelebihan 3-0 secara agregat pada aksi berkenaan.

“Saya memberitahu pemain yang amat sukar untuk mendapatkan kata-kata yang tepat bagi situasi seperti ini dan bola sepak adalah kejam. Kami perlu mengharungi kekejaman ini pada malam ini tetapi kami perlu meneruskan kehidupan.

“Final Liga Juara-Juara amat unik dan semua pemain cukup sedar yang kamu memerlukan sedikit masa untuk melupakannya, tetapi kamu perlu kembali bangkit pada Ahad ini.”

Ajax sudah memenangi Piala Belanda pada musim ini dan masih berpeluang untuk melengkapkan kejayaan berganda di peringkat domestik sebelum ramai pemain berbakat kelab itu berpindah ke pasukan lain pada penghujung kempen.

Berbaki dua perlawanan Liga Belanda, Eredivisie musim ini, Ajax yang menghuni tangga teratas liga bersaing sengit dengan PSV Eindhoven dengan kedua-duanya mengumpul 80 mata.

“Kami akan cuba menanganinya dan meraih semula semangat,” kata Ten Hag. “Kami berhutang kepada diri sendiri dan juga peminat. Kami sudah mengharungi musim yang hebat, kami sudah memenangi satu trofi dan pemain-pemain ini amat berdaya tahan. Kami akan berada di atas padang pada Ahad ini.” - AFP

Berita Harian X