Khamis, 9 Mei 2019 | 8:12am
DANNY Rose. - Foto Reuters
DANNY Rose. - Foto Reuters

Reds jadi inspirasi Spurs - Rose

AMSTERDAM: Danny Rose berkata perjuangan mengagumkan Tottenham menyingkirkan Ajax di separuh akhir Liga Juara-Juara diinspirasi daripada kejayaan hebat Liverpool yang menyisihkan Barcelona pada aksi lebih awal.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu bangkit daripada ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama yang meletakkan mereka ketinggalan 3-0 secara agregat sebelum menang 3-2 berpunca daripada hatrik penyerang Brazil, Lucas Moura.

Kemenangan di gelanggang Ajax, Arena Johan Cruyff itu menyaksikan Spurs mara menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedudukan terikat 3-3 secara agregat sekali gus menempah aksi final menentang Liverpool di Madrid, bulan depan.

Liverpool sebelum ini melakar kebangkitan sensasi apabila menyingkirkan juara Sepanyol, Barcelona dengan kemenangan 4-0 di Anfield, semalam sekali pun ketinggalan 3-0 secara agregat susulan kekalahan di Nou Camp pada aksi pertama.

Pertahanan Tottenham, Rose mendedahkan pengurus Pochettino menjadikan kejayaan Liverpool itu untuk melonjakkan semangat juang pemain ketika perjumpaan sebelum perlawanan berlangsung.

“Kami menonton perlawanan Liverpool malam semalam. Ia menunjukkan yang ia tidak berakhir selagi ia belum berakhir,” kata Rose. “Beliau menyebutnya di hotel sebelum perlawanan.

“Beliau berkata ia adalah cara yang betul untuk bermain. Beliau tidak kisah jika kami tewas jika kami bermain seperti itu. Kami kecewa dengan cara kami bermain pada perlawanan pertama dan situasi sama berulang pada babak pertama di sini.

“Ada beberapa kata-kata yang diluahkan pada rehat babak separuh masa pertama. Ia membuktikan yang kami boleh menewaskan siapa saja jika kami bermain seperti itu.”

Kemenangan itu turut menyaksikan Spurs akan mengharungi aksi final peringkat Eropah pertama sejak mereka memenangi Piala UEFA pada 1984. - AFP

Berita Harian X