Rabu, 1 Mei 2019 | 6:17pm

JDT sudah hantar laporan kepada FAM

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan pihaknya sudahpun mengemukakan laporan berkenaan ulasan pengadil, Mohd Zohri Tajuddin terhadap pemain import mereka kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Justeru, Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengingatkan semua pasukan supaya mengemukakan aduan terus kepada badan induk itu jika tidak berpuas hati dengan kualiti dan sikap pengadil.

"Merujuk kepada komen oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin dalam akhbar tempatan yang diterbitkan hari ini, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim ingin menjelaskan mengenai laporan berkenaan ulasan pengadil terhadap pemain luar negara kami dalam perlawanan menentang Pahang itu sudah dikemukakan pada hari Selasa, 30 April 2019.

"Kami ingin menegaskan semula rasa terkejut kami terhadap komen-komen ini dan kami yakin bahawa tidak ada ruang bagi unsur berbaur perkauman dalam bola sepak. 

"Pengadil, seperti setiap orang dalam jalinan keluarga bola sepak harus memberikan contoh yang baik bagi memerangi sikap berbaur perkauman dalam sukan yang kita cintai ini," katanya menerusi Johor Southern Tigers, hari ini.

Terdahulu, Hamidin menegaskan setiap pasukan perlu mengikut saluran betul ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa yang mendakwa Zohri menghamburkan kata-kata kurang sopan kepada seorang pemain importnya pada aksi bertemu Pahang di Kuantan, Ahad lalu.

Justeru, Hamidin berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat laporan atau aduan daripada mana mana pasukan mengenai pengadil Liga Malaysia (Liga M).

"Saya perlu nyatakan tidak kira JDT atau mana-mana pasukan, mereka perlu menghantar laporan atau aduan rasmi kepada FAM.

"Tidak perlu maklumkan perkara ini secara terbuka sebaliknya terus hantar surat bantahan dan sebagainya jika ada yang tidak puas hati.

"Sudah tentu FAM akan melihat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya dengan bukti yang sahih," katanya.

Berita Harian X