Selasa, 30 April 2019 | 9:32pm
MELAKA 28 JULAI 2018. Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali ke-5 bagi penggal 2017-2021 Persatuan Bola Sepak Malaysia di Hotel Hatten Melaka, Banda Hilir. NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
MELAKA 28 JULAI 2018. Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali ke-5 bagi penggal 2017-2021 Persatuan Bola Sepak Malaysia di Hotel Hatten Melaka, Banda Hilir. NSTP/ RASUL AZLI SAMAD

TMJ cetus bawa WFS Asia ke KL - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan, kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia adalah hasil inisiatif Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hamidin berkata, Tunku Ismail memberikan ilham untuk membawa WFS ke Kuala Lumpur sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM tahun lalu.

Katanya, selaku presiden baharu, dia hanya meneruskan apa yang sudah direncanakan TMJ dalam usaha membawa lebih banyak kemajuan terhadap bola sepak negara.

"Tunku Ismail yang cetuskan idea ini dari awal supaya WFS diadakan di sini dan apa yang saya lihat ia berjaya serta berharap Kuala Lumpur akan menjadi pusat bola sepak di mata dunia,” kata Hamidin ketika ditemui di WFS Asia, di sini, hari ini.

"Sebenarnya banyak perkara yang sudah dibuat Tunku Ismail termasuk pensturukturan semula FAM dan banyak lagi. Saya kira WFS ini salah satu daripada ilham beliau dan ia menjadi kebanggan kita.

"Saya juga sudah berbincang dengan pihak penganjur untuk mencadangkan WFS Asia sekali lagi diadakan di Kuala Lumpur tahun depan."

Mengulas lanjut, Hamidin mengakui sangat berpuas hati dengan sambutan yang tinggi terhadap WFS Asia yang buat julung kalinya diadakan di benua ini.

Katanya, WFS Asia memberikan sumbangan yang positif khasnya buat bola sepak Malaysia dan khususnya Asia kerana ia membabitkan semua aspek dalam bola sepak.

"Kalau kita lihat WFS membincangkan banyak perkara termasuk dari segi sains sukan, stadium, keselamatan dan banyak lagi mengenai bola sepak moden. Sudah tentu kita dapat kelebihan buat semua pemegang taruh dan ahli gabungan FAM.

"Ahli gabungan dan kelab diberi jemputan istimewa walaupun pihak lain dikenakan bayaran. Malah, mereka mendapatkan input bermanfaat selain dapat membentuk hubungan dengan pihak luar.

"Semua pemegang taruh FAM dapat belajar bagaimana liga luar terutama Bundesliga dan La Liga beroperasi, yang mana ia baik untuk kita pelajari," katanya.

Berita Harian X